NOR AZAM AZIH
NOR AZAM AZIH
Asrol Awang


KUANTAN: Pemain Pahang, Nor Azam Azih sedia kembali menyarung jersi skuad kebangsaan terutama bagi kempen Piala AFF bermula awal bulan depan.

Pemain berusia 23 tahun itu berkata, kecederaan lutut kanan yang dialami sudah pulih dan kini gigih menjalani latihan bersama skuad Tok Gajah.

“Apa yang boleh saya katakan lutut kanan yang sebelum ini cedera sudah pulih sepenuhnya dan jika dipanggil mewakili skuad Harimau Malaya, saya sedia memberikan komitmen 100 peratus.

“Pada masa sama, saya amat teringin untuk menyertai skuad negara kerana belum berkesempatan beraksi di bawah kendalian jurulatih Tan Cheng Hoe.

“Sebelum ini jurulatih pernah menyenaraikan saya tapi disisihkan kerana cedera,” katanya.

Nor Azam berkata, beraksi pada Piala AFF memang menjadi impiannya terutama untuk membantu Harimau Malaya kembali meraih kejuaraan.

Semalam, bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh menganggap Nor Azam sebagai pemain tengah terbaik ketika ini dan berharap dia dipanggil oleh Cheng Hoe bagi skuad ke Piala AFF.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 9:57 PM