MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjumpa dengan pelajar ketika mengadakan lawatan ke padang AMD, Gambang berhubung isu ketirisan. FOTO/ MUHD ASYRAF SAWAL
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjumpa dengan pelajar ketika mengadakan lawatan ke padang AMD, Gambang berhubung isu ketirisan. FOTO/ MUHD ASYRAF SAWAL
Syafiq Aznan


JABATAN Kerja Raya (JKR) sedia mengambil tindakan tegas kepada MMN Bina Sdn Bhd sebagai kontraktor Akademi Mokhtar Dahari (AMD) jika mereka gagal melaksanakan kerja pembaikan ke atas kerosakan yang berlaku di pusat itu.

Menerusi satu kenyataan media semalam, JKR mempunyai hak untuk melantik pihak ketiga bagi membaiki kecacatan terbabit sekiranya kontraktor gagal memenuhi obligasi untuk memperbaiki segala kerosakan yang dilaporkan.

“Setakat 6 Oktober 2018, sebanyak 833 kecacatan sudah direkodkan dan 93 bilangan kecacatan sudah dibaiki dengan kategorinya dipecahkan mengikut skop kerja arkitek, mekanikal, elektrikal dan sivil.

“Kerja pembaikan kecacatan sedang giat dijalankan di tapak bina dan akan diteruskan sepanjang tempoh tanggungan kecacatan selama 24 bulan bermula 31 Mac 2018 hingga 30 Mac 2020.

“JKR memantau dengan teliti terhadap kerja pembaikan kecacatan ini dan jika mereka gagal melaksanakan tanggungjawab dan obligasinya, tindakan tegas akan diambil kepada pihak kontraktor sejajar dengan peruntukan terma kontrak.

“JKR juga memiliki hak untuk melantik pihak ketiga bagi membaiki kecacatan terbabit dengan kos pembaikan pihak ketiga ini akan ditanggung sepenuhnya pihak kontraktor projek ini,” kata JKR.

Mengulas lanjut mengenai projek terbabit, JKR menjelaskan projek pembinaan Akademi Bolasepak Negara Fasa 2 di Gambang itu ditawarkan kepada MMN Bina Sdn Bhd secara kontrak reka dan bina pada 2 Disember 2015 dengan harga kontrak RM81,832,000 dan tempoh siap asal selama 20 bulan.

“Ekoran beberapa isu pembinaan, tempoh kontrak asal dilanjutkan selama tiga bulan namun kontraktor gagal menyiapkan projek ini dalam lanjutan ditetapkan dan dikenakan denda Gantirugi Rugi Tertentu dan Gantitugi Ditetapkan (LAD) selama 56 hari.

“Keseluruhan kerja disiapkan secara praktikal pada 30 Mac dan Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP) projek ini adalah selama 24 bulan.

“Jadi dalam tempoh ini, kontraktor utama bertanggungjawab dan memegang obligasi penuh untuk menyiapkan kerja pembaikan kecacatan mengikut tempoh masa munasabah yang ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, bekas  Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan masalah yang berlaku di AMD adalah sesuatu yang normal bagi sebarang projek kerajaan.

Katanya, semua pihak juga tidak perlu khuatir memandangkan projek itu masih lagi berada dalam tempoh tanggungan kecacatan di mana kontraktor tetap perlu memperbaiki segala masalah yang dinyatakan tanpa sebarang kos kepada kerajaan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 5:31 PM