LOW Yi Ying menunjukkan  buku Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2017 siri 1 ketika sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen.
LOW Yi Ying menunjukkan buku Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2017 siri 1 ketika sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen.
Fahmy Azril Rosli

Kuala Lumpur

Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1 mendedahkan dewan bedah di Hospital Alor Gajah (HAG), Melaka tidak dapat berfungsi sehingga menyebabkan perkhidmatan pembedahan tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

Menurut audit berkenaan, hal itu berpunca daripada bacaan tahap kebisingan yang tidak menepati piawaian dan kerosakan berulang terhadap sistem pendingin hawa dan sistem penyeliaan bangunan.

Mengikut rekod, HAG siap pada 14 Jun 2012. Perkhidmatan di hospital itu tidak boleh digunakan sejak HAG mula beroperasi pada 18 Februari 2013 sehingga 18 September 2017.

Walaupun projek HAG dari aspek perolehan serta pengendalian dokumen, kontrak, bon pelaksanaan dan penyerahan insuran mematuhi peraturan ditetapkan, bagaimanapun menurut laporan itu, terdapat kelemahan dari aspek pascakontrak yang menjejaskan kecekapan pengurusan projek.

Berdasarkan audit yang dijalankan menemukan sembilan masalah yang perlu diambil perhatian oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan selain memastikan perkara yang sama tidak berulang dalam projek pembinaan lain, pihak audit mengesyorkan JKR dengan kerjasama KKM mengambil tindakan.

“Pertama, menyenaraihitamkan kontraktor dan pemilik syarikat yang dilantik melaksanakan projek serta mengemukakan laporan kepada badan profesional perunding mengenai kegagalan kontraktor dan perunding memastikan projek disiapkan dengan sempurna dan mematuhi peraturan ditetapkan.

“Kedua, menilai semula bidang kuasa pengarah projek dalam pengurusan projek yang dilaksanakan secara reka dan bina terutama apabila kontraktor didapati gagal memenuhi obligasi kontrak.

“Ketiga, memastikan pelantikan kontraktor pihak ketiga dibuat dengan segara dan menetapkan tempoh yang spesifik bagi kerja pembaikan kecacatan diselesaikan serta memantau kerja pembaikan yang dilaksanakan bagi membolehkan Perakuan Siap Membaiki Kecacatan (CMGD) dikeluarkan dan seterusnya Penyata Akaun Akhir serta Perakuan Muktamad dapat disediakan,” menurut laporan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 11:22 AM