EDIN DZEKO
EDIN DZEKO

MILAN: Jaringan Steven Nzonzi dan Edin Dzeko memastikan Roma meraih kemenangan keempat berturut-turut dengan menewaskan pendatang baru Empoli 2-0 di Tuscany awal pagi tadi sekali gus melonjak ke tangga ketiga Serie A .

Skuad Eusebio Di Francesco yang sebelum ini menduduki tempat kesembilan selepas mengharungi empat perlawanan tanpa kemenangan melonjak ke kelompok tiga teratas selepas meleburkan cabaran Empoli yang menghuni tangga kedua tercorot.

Nzonzi yang menjuarai Piala Dunia bersama Perancis menanduk masuk gol pertamanya untuk Roma sejak berpindah dari Sevilla pada minit ke-36 dan bintang Bosnia, Dzeko yang menjaringkan hatrik ketika membenam Viktoria Plzen dalam aksi Liga Juara-Juara memastikan tiga mata buat Roma apabila menjaringkan gol kedua lima minit sebelum tamat perlawanan.

Roma kini sepuluh mata di belakang Juventus yang memiliki 24 mata maksima dan satu mata di belakang skuad Carlo Ancelotti, Napoli yang menerima kunjungan Sassuolo malam ini.

"Perkara utama ialah kami kembali mencapai kemenangan,” kata Dzeko.

"Ia bukanlah tempoh yang mudah tetapi kami bekerja keras dan kini menang empat perlawanan berturut-turut menjelang rehat antarabangsa,” katanya.

Pada perlawanan pagi tadi pemain pertahanan remaja, Luca Pellegrini melakukan penampilan pertama manakala pemain tengah Javier Pastore dan pertahanan tengah Aleksandar Kolarov direhatkan akibat kecederaan.

Roma kini menang empat aksi terakhir menentang Frosinone, Lazio, Viktoria Plzen dan Empoli dengan menjaringkan 14 gol dan hanya dibolosi satu jaringan.

Bagaimanapun Di Francesco belum mahu berpuas hati kerana berpendapat ada aspek yang perlu diperbaiki selepas anak buahnya kerap melakukan kesilapan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 7:54 AM