MANUEL PELLEGRINI
MANUEL PELLEGRINI

LONDON: Manuel Pellegrini menyanjung keberkesanan penyudah West Ham apabila kelab Liga Perdana Inggeris itu merakam kemenangan terbesar mereka dalam tempoh 35 tahun selepas membenam Macclesfield 8-0 pada pusingan ketiga Piala Liga Inggeris, awal pagi tadi.

Pellegrini, yang menang Piala Liga dua kali bersama Manchester City, menyenaraikan pasukan kuat menentang kelab tercorot Liga Bolasepak itu dan ia berbaloi apabila West Ham berpesta gol di Stadium London.

Robert Snodgrass, Lucas Perez, Ryan Fredericks dan pemain kali pertama beraksi Grady Diangana semuanya meledak gol sulung bersama kelab itu manakala Michail Antonio dan Angelo Ogbonna melengkapkan senarai penjaring.

West Ham sebelum ini menang besar 10-0 ke atas Bury dalam pertandingan sama pada 1983.

“Tidak mudah mencari ruang apabila anda ada lapan atau sembilan pemain di depan anda tapi kami bersabar,” kata Pellegrini.

“Ia kemenangan yang bagus kerana kami mesti membuktikan beza antara pasukan Liga Perdana dan pasukan dalam Liga Dua - tapi anda tidak selalu melakukannya. Itulah sebabnya saya gembira terhadap pemain.”

Diangana, pemain tengah berusia 20 tahun dari akademi West Ham, melengkapkan penampilan sulung bergaya dengan dua penyudah menakjubkan.

“Satu daripada permintaan saya kepada kelab bawa pemain bawah 23 ke padang latihan yang kami gunakan. Bulan lalu kami mula melakukannya jadi mudah buat saya melihat persembahan mereka,” ujar Pellegrini.

“Dia pemain muda dan perlu meningkatkan banyak perkara untuk menjadi pemain utama, tapi dia bekerja keras dan bertidnak baik. Jika dia meneruskan dengan personaliti ditunjukkan hari ini saya fikir dia akan meningkat dengan pantas.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 10:14 AM