BENITEZ mengkritik Marriner ketika aksi menentang Palace. FOTO/AGENSI
BENITEZ mengkritik Marriner ketika aksi menentang Palace. FOTO/AGENSI
AFP

LONDON: Pengurus Newcastle United, Rafael Benitez didakwa oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris kerana komen dibuatnya terhadap pengadil Andre Marriner sebelum pasukannya seri di Crystal Palace, Sabtu lalu.

Benitez membalas soalan mengenai rayuan penyerang Palace, Wilfried Zaha yang mahukan perlindungan lebih daripada pengadil.

Zaha berkata, kakinya mungkin patah sebelum pemain lawan dibuang padang susulan layanan buruk terhadap penyerang Eagles itu selain tiada tindakan tegas pegawai perlawanan.

Bercakap mengenai dakwaan Zaha, Benitez berkata: “Saya terkejut kerana biasanya FA menangani komen sebegini, tapi saya yakin penuh terhadap Andre Marriner.

“Beliau berpengalaman - sekalipun rekodnya dengan pemain kami tidak bagus dari segi kad merah, tapi saya amat yakin.

“Dia (Zaha) seorang pemain yang bagus, tiada keraguan mengenainya, tapi saya fikir FA perlu menangani komen sebegini dan saya pasti Andre Marriner tidak akan memikirkannya.”

Susulan keputusan seri 0-0, satu kenyataan FA awal pagi tadi menyatakan: “Rafael Benitez didakwa berikutan komen sebelum perlawanan dibuatnya pada Jumaat lalu mengenai pelantikan pengadil perlawanan bagi aksi Newcastle United menentang Crystal Palace, Sabtu lalu.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 12:38 PM