RONALDINHO
RONALDINHO
Syafiq Aznan

 

KUALA LUMPUR: US$150,000 atau RM618,000 sebulan. Itu bayaran yang dilihat mampu ‘menarik’ bekas pemain terbaik dunia, Ronaldinho untuk kembali beraksi secara kompetitif selepas mula menggantung but, Januari lalu.

 

Menurut sumber, jumlah terbabit disifatkan berpatutan dengan reputasinya sebagai pemain yang memiliki nama besar serta memiliki reputasi hebat selepas memenangi pelbagai kejuaraan di pentas bola sepak antarabangsa.

 

“Menerusi maklumat yang diperolehi, saya dimaklumkan gaji untuk khidmat Ronaldinho dianggarkan AS$150,000 sebulan (RM618,000) dan saya kira ia boleh dianggap berpatutan dengan reputasinya walaupun dia sudah menghampiri usia 40 tahun.

 

“Jika ada pihak berminat dan boleh menawarkan gaji setinggi itu, mungkin Ronaldinho sedia untuk mempertimbangkan tawaran itu dan kembali beraksi secara kompetitif.

 

“Namun, berkemungkinan permintaan gaji yang dilihat begitu tinggi itu menyebabkan sebuah pasukan yang cuba memancing khidmatnya sebelum ini terpaksa melupakan hasrat mereka untuk mendapatkan pemain itu,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP.

 

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) menegaskan betapa mereka serius untuk membawa Ronaldinho untuk menyertai pasukan The Bos Gaurus di pentas kelayakan Liga Juara-juara Asia (ACL) pada Februari tahun depan.

 

Presidennya, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, meskipun hasrat untuk membawa bekas pemain Brazil dan Barcelona itu ke negeri ini dianggap jenaka, keputusan itu tidak mustahil berikutan Ronaldinho pernah menyatakan hasrat untuk menyertai pasukan di negara ini tanpa mengenakan sebarang bayaran.

 

Bagaimanapun, Hasnul mengesahkan mereka mungkin terpaksa melupakan khidmat mendapatkan legenda Brazil itu atas faktor kekangan kewangan.

 

Apapun, mereka tetap ‘berselera besar’ untuk terus mendapatkan bintang import bertaraf antarabangsa apabila pasukan itu kini sedang mengintai khidmat beberapa pemain Cardiff City untuk beraksi secara pinjaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 10:59 AM