ATLET Bahrain, Kalkidan Befkadu ketika memenangi emas acara 1,500 meter wanita Sukan Asia. Foto REUTERS
ATLET Bahrain, Kalkidan Befkadu ketika memenangi emas acara 1,500 meter wanita Sukan Asia. Foto REUTERS
AFP

BAHRAIN menamatkan saingan olahraga Sukan Asia di kedudukan teratas bersama China dengan meraih 12 pingat emas, namun tiada siapapun yang ingin mengucapkan tahniah kepada negara kerdil dari teluk Arab itu.

Ini kerana kejayaan di luar jangkaan itu diraih hasil bantuan atlet ‘naturalisasi’ yang lahir dari Afrika.

Polisi Bahrain yang memberi kerakyatan kepada atlet berbakat asing yang mana adalah sah mencetuskan kontroversi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi akhirnya ia mambawa pulangan yang setimpal di Jakarta kali ini.

Kesemua 10 pingat emas yang dimenangi Bahrain diperoleh daripada atlet kelahiran Afrika dari negara seperti Nigeria, Habsyah, Kenya and Maghribi.

Malah, dua lagi pingat emas yang dimenangi menerusi acara lari berganti-ganti menyaksikan dua daripada atletnya adalah juga dari Afrika.

Untuk atlet terbabit, keputusan untuk menukar kerakyatan itu dibuat atas faktor gaji yang lebih lumayan, selain layanan buruk dan peluang yang terhad ketika di negara asal mereka.

“Bahrain memberi bayaran yang lumayan dan juga layanan yang baik,” jelas pemenang pingat emas acara 1,500m dan 5,000m, Kalkidan Befkadu, 27, yang berhijrah ke Bahrain enam tahun lalu.

“Di Habsyah terdapat begitu ramai atlet yang bagus, jadi amatlah mencabar untuk dapat mewakili negara. Itu sebab mengapa saya memilih mewakili Bahrain.”

Namun bagi atlet dari negara lain yang mengakhiri saingan dengan sekadar meraih perak dan gangsa ataupun pulang tangan kosong selepas tewas kepada atlet dari Afrika, menyifatkan situasi ini sebagai ‘dirompak’.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 9:35 PM