WOODS makin hampir berada di prestasi terbaiknya. FOTO/AGENSI
WOODS makin hampir berada di prestasi terbaiknya. FOTO/AGENSI
Reuters

NEW JERSEY, Amerika Syarikat: Dustin Johnson adalah juara bertahan kejohanan Northern Trust, tetapi tumpuan terarah kepada Tiger Woods apabila playoff Piala FedEx Jelajah PGA itu bermula esok.

Woods menyertai playoff itu buat pertama kali sejak tahun 2013, di mana dia muncul juara dalam perlumbaan mata sepanjang musim itu.

Dengan masalah kecederaan belakang seakan tidak membelenggunya lagi, Woods semakin hampir untuk berada di prestasi terbaiknya sekali lagi, hanya kemenangan saja belum ditemui tahun ini.

“Saya rasa kemenangan seterusnya semakin hampir. Berapa cepat saya tidak tahu tetapi saya berada dalam kelompok itu di dalam kejohanan ketika ini,” kata pemain 42 tahun itu di lapangan Ridgewood Country Club di Paramus.

“Saya melakukannya dalam dua daripada tiga kejohanan setakat ini dan ia adalah kejohanan besar, jadi saya tidak berada terlalu jauh untuk mencapainya.

“Saya rasa jika saya terus mencipta peluang itu, saya akan dapat menyelesaikan tugas berkenaan.”

Woods menjadi pencabar kejuaraan dalam dua kejohanan major musim ini, di Terbuka British dan Kejuaraan PGA, melonjak ke tangga teratas sebelum tercicir di pusingan terakhir.

Lebih sedekad 14 gelaran major diraihnya tidak bertambah, sasarannya untuk mengatasi Jack Nicklaus (18 gelaran major) tampak seperti semakin sukar dicapai.

Paling realistik ialah rekod kemenangan Jelajah PGA - 82 kemenangan oleh Sam Snead. Ketika ini Woods memegang 79 kemenangan sepanjang kariernya, 14 daripadanya adalah kejohanan major.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 12:43 PM