AZROY bangga bersama trofi selepas menang perlumbaan di Jasin, hari ini. — FOTO Two Wheels Motor Racing
AZROY bangga bersama trofi selepas menang perlumbaan di Jasin, hari ini. — FOTO Two Wheels Motor Racing
Arena Metro

AZROY Hakeem Anuar meraih kemenangan penuh bermakna buat kontinjen Honda selepas menjuarai perlumbaan CP150 pada pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Jasin, Melaka, hari ini.

Selepas dua musim, pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing itu akhirnya berjaya menamatkan dominasi jentera Yamaha sekali gus turut merangkul kemenangan sulungnya dalam kategori perdana.

Azroy memulakan 20 pusingan perlumbaan dari petak ketiga sebelum memintas pendahulu, Iqbal Amri Malek seawal pusingan kedua.

Azroy bagaimanapun diberi tentangan sengit seorang lagi pelumba muda, Helmi Azman sebelum memenangi perlumbaan dalam masa 16 minit 02.227 saat.

Helmi muncul naib juara dengan masa 16:02.939s sambil rakan sepasukan Azroy, Zaqhwan Zaidi yang kembali ke kancah Cub Prix musim ini melengkapkan penguasaan podium Honda di tangga ketiga dengan masa 16:09.377s.

“Saya berasa amat gembira dan puas kerana memenangi perlumbaan dan menghadiahkan kemenangan pertama ini kepada pemilik pasukan, Shahrol Yuzy dan seluruh pasukan yang tidak berhenti bekerja keras musim ini,” jelas pelumba berusia 20 tahun itu.

Dalam saingan CP115, Fareez Afeez Rahman meneruskan momentum kemenangan pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing apabila mengungguli 12 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 12:31.825s.

Naib juara keseluruhan musim 2018 itu mengatasi Syukran Aizat Yusoff (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing) di kedudukan kedua dengan masa 12:34.962s sementara pendatang baru kategori CP115, Syarifuddin Azman dari Idemitsu Kozi DFZ Yam Honda Racing menamatkan perlumbaan di tangga ketiga.

AKSI getir perlumbaan CP150 di Jasin hari ini. — FOTO Two Wheels Motor Racing
AKSI getir perlumbaan CP150 di Jasin hari ini. — FOTO Two Wheels Motor Racing

Juara keseluruhan kategori Wira musim lalu itu menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 12:35.454s.

Sementara itu, perlumbaan kategori Wira dimenangi pelumba persendirian, Zaki Zamri yang menamatkan lapan pusingan perlumbaan dengan masa 10:24.355s.

Tempat kedua milik pelumba pasukan Super KIP Motorsports, Afizi Supaat diikuti Sharul Ezwan Sharil (AFB TECH Racing) ketiga.

KEPUTUSAN PUSINGAN 1

CP150:

1 Azroy Hakeem Anuar (SEL) Idemitsu Honda Yuzy Racing 16:02.227s

2 Helmi Azman (SEL) Hi Rev SCK Honda Racing 16:02.939s

3 Zaqhwan Zaidi (SEL) Idemitsu Honda Yuzy Racing 16:09.377s

CP115:

1 Fareez Afeez Rahman (JOH) Motul Yamaha YY Pang Racing 12:31.825s

2 Syukran Aizat Yusoff (TER) PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing 12:34.962s

3 Syarifuddin Azman (SEL) Idemitsu Kozi DFZ Yam Honda Racing 12:35.454s

WIRA:

1 Zaki Zamri (SEL) Persendirian 10:24.219s

2 Afizat Supaat (SEL) Super KIP Motorsports 10:24.355s

3 Sharul Ezwan Sharil (SEL) AFB TECH Racing 10:24.493s

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 7:04 PM