PEMAIN tengah Bayern Munich, James Rodriguez. FOTO AFP
PEMAIN tengah Bayern Munich, James Rodriguez. FOTO AFP
AFP

PIHAK berkuasa percukaian Sepanyol mengarahkan pemain tengah Bayern Munich, James Rodriguez membayar 11.65 juta euros (RM55.33 juta) atas tuduhan mengelak cukai ketika bermain di Real Madrid, lapor akhbar El Mundo, hari ini.

James yang berhijrah ke Bayern Munich tahun lalu dituduh mengelak cukai berjumlah 6.35 juta euros (RM30.16 juta), yang kebanyakan dikaitkan dengan hak imejnya dan perlu membayar jumlah berkenaan serta ditambah denda dan faedah.

Memetik sumber yang rapat dengan kes berkenaan, El Mundo berkata James dibeli Real dari Monaco dengan nilai 80 juta euro (RM379.93 juta) pada pertengahan 2014 tetapi pada tahun berkenaan dia didaftarkan sebagai bukan pemastautin.

Pihak berkuasa cukai begitupun dilaporkan percaya dia sepatutnya didaftarkan sebagai pemastautin, yang menyaksikannya harus menyelesaikan perbezaannya, atau RM30.16 juta berkaitan gaji dan penjualan hak imej.

Begitupun, pihak berkuasa percukaian Sepanyol enggan memberi komen ketika dihubungi oleh AFP.

Pemain berusia 27 tahun yang memenangi anugerah Penjaring Gol Terbanyak di Piala Dunia 2014 menyertai senarai panjang pemain yang berdepan masalah dengan pihak berkuasa cukai Sepanyol.

Sesetengahnya sudah mencapai penyelesaian seperti Cristiano Ronaldo yang baru-baru ini berpindah ke Juventus dari Real Madrid dan bersedia untuk membayar 18.8 juta euros (RM89.28 juta) sekali gus tidak perlu menjalani hukuman penjara selama dua tahun.

Bintang Barcelona, Lionel Messi begitupun diheret ke mahkamah di mana dia didenda 2.1 juta euros (RM9.97 juta) atas kesalahan penipuan cukai dan diberikan hukuman penjara selama 21 bulan yang kemudiannya ditukar kepada bentuk denda yang berlainan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 12:20 AM