RONALDO ketika final Liga Juara-Juara di Cardiff, 3 Jun lalu. FOTO AFP
RONALDO ketika final Liga Juara-Juara di Cardiff, 3 Jun lalu. FOTO AFP
Agensi

BINTANG Real Madrid, Cristiano Ronaldo menafikan pertuduhan mengelak membayar cukai bernilai 14.7 juta euro (RM70.57 juta).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat Selasa, wakil Ronaldo, agensi Gestifute berkata, pemain itu tidak terbabit dalam apa-apa skim pengelakan cukai dan tiada niat untuk menyembunikan apa-apa.

Gestifute berkata, ia akan mengeluarkan dokumen yang menunjukkan pemain itu tidak menubuhkan struktur syarikat untuk mengelak cukai sebaliknya menggunakan syarikat yang dimilikinya sejak bermain di Manchester United yang diketahui pihak berkuasa Britain dan Sepanyol.

Agensi itu juga berkata, kes itu mungkin berkaitan tafsiran berbeza antara sistem cukai Britain dan Sepanyol tetapi tidak dianggap satu penipuan.

Sebelum itu, pihak berkuasa di Sepanyol mendakwa Ronaldo mengelak membayar cukai bernilai 14.7 juta euro (RM70.57 juta) menerusi urusan kewangan rahsia luar pesisir.

Pejabat pendakwa raya di Madrid dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, pemain Portugal itu menghadapi empat pertuduhan membabitkan penipuan cukai bernilai 14,768,897 euro (RM70,571,986) antara 2011 sehingga 2014.

“Tertuduh mengambil kesempatan penstrukturan syarikat yang ditubuhkan pada 2010 untuk menyembunyikan pendapatan yang dijana menerusi hak imej di Sepanyol daripada pihak berkuasa.

“Ia dianggap perbuatan ‘sukarela’ dan pelanggaran yang diketahui berhubung tanggungjawab fiskal di Sepanyol,” katanya.

Pihak pendakwa menuduh pemain berusia 32 tahun itu mengelak membayar cukai menerusi dua syarikat yang berpangkalan di British Virgin Islands dan Ireland.

Menurut majalah Forbes, Ronaldo adalah atlet berpendapatan paling tinggi di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 9:22 AM