HAFIZH Syahrin Abdullah. FOTO arkib NSTP
HAFIZH Syahrin Abdullah. FOTO arkib NSTP
Sukhairi Thani


PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah menekankan kepentingan meraih gelaran pelumba muka baharu terbaik 2018 tatkala dirinya meletakkan Grand Prix (GP) Republik Czech, 5 Ogos ini sebagai perlumbaan penting untuk terus kekal sebagai pendahulu carta berkenaan.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu kini mendahului carta dengan kelebihan tiga mata daripada pencabar utamanya yang baru-baru ini dibelenggu kecederaan, Franco Morbidelli manakala Takaaki Nakagami mengekori 12 mata di tangga ketiga.

Kedua-dua pencabarnya itu dilihat mampu menggugat Hafizh tatkala saingan kini sudah melepasi pertengahan musim 2018 dengan berbaki 10 pusingan bermula di sirkit Automotodrom Brno.

“Dua pelumba ini memang laju - Nakagami dan Morbidelli, jadi saya perlu kekal konsisten,” kata Hafizh yang akan terus bersama pasukan Tech3 yang beralih kepada jentera KTM musim depan.

“Kalau saya melakukan sedikit saja kesilapan dan hilang fokus, mungkin kedua-dua pelumba ini boleh memintas saya.

“Jadi saya perlu memberi tekanan kepada dia (Morbidelli) dan kekal fokus supaya tidak melakukan kesilapan apabila berada dalam kedudukan mata dan cuba menjarakkan lagi kedudukan dengan dua pelumba yang mempunyai mata di senarai muka baharu ini.

“Sekarang, saya meletakkan sasaran untuk gelaran muka baharu terbaik ini. Pada awal musim, saya tidak meletakkan sebarang harapan dalam carta ini tetapi selepas sembilan pusingan, saya mahukan gelaran muka baharu terbaik 2018.

“Ini supaya pada 2019, saya dapat bersiap sedia daripada sudut fizikal dan lebih memahami jentera apatah lagi kami akan menggunakan jentera baharu, KTM,” katanya.

Daripada sembilan pusingan musim 2018 yang sudah pun berlangsung, Hafizh kini sudah mengumpul 22 mata untuk berada di tangga ke-16 daripada 26 pelumba dalam kelas perdana MotoGP.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 4:30 PM