JURULATIH skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee (kiri) ketika bersama para pemain pada sesi latihan skuad bawah 23 tahun negara di Wisma FAM. FOTO Bernama
JURULATIH skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee (kiri) ketika bersama para pemain pada sesi latihan skuad bawah 23 tahun negara di Wisma FAM. FOTO Bernama
Aziman Rosdi


DALAM masa sehari, jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) kehilangan dua pemain penyerang untuk di bawa ke Sukan Asia Jakarta-Palembang minggu depan.

Perkhabaran buruk itu diterima apabila Jafri Firdaus Chew mengalami kecederaan hamstring pada sesi latihan semalam manakala Hadi Fayyadh Abd Razak pula akan berlepas ke Jepun Ahad ini bagi mengikuti sesi percubaan dengan kelab liga divisyen dua negara itu, Roasso Kumamoto selama enam hari.

Dengan situasi terbaru itu, Kim Swee hanya akan membawa 22 pemain saja ke China bagi aksi persahabatan dengan skuad B-23 China sebelum ke Sukan Asia. 

"Jafri terpaksa digugurkan kerana mengalami kecederaan hamstring ketika latihan semalam, dia memerlukan masa empat minggu untuk pulih, kita tak mempunyai banyak pilihan, hanya 22 pemain akan ke China.

"Kita mempunyai satu perlawanan persahabatan dengan China, di situ saja kita boleh nilai pemain dan jika masalaah kecederaan menimpa, itu sesuatu di luar kawalan saya, kalau ia berlaku juga kemungkinan kalau saya mahu Hadi ke Indonesia, saya akan bawa dia terus ke Indonesia, ini terpulang kepada keadaan di China dan apa yang berlaku sebelum kita ke Bandung (Sukan Asia)," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pusat hari ini.

Ketiadaan Jafri dan Hadi menambah kepincangan skuad negara yang sudah kehilangan Aidil Zafuan Abd Radzak dan Syamer Kutty Abba yang mengalami kecederaan serta Nor Azam Azih dan Matthew Davies yang tidak mendapat pelepasan daripada Pahang.

Sementara itu, Hadi, 18, bersedia untuk mencuba nasib dengan kelab Roasso Kumamoto meskipun terpaksa mengorbankan tempatnya bersama skuad B-23 negara ke Sukan Asia.

"Bagi saya ini cabaran yang bagus, saya masih muda, saya akan belajar perkara baru di sana jadi ini peluang terbaik dan saya akan berusaha mendapat tempat di sana.

"kita tahu Jepun (pemain) sangat rajin, memiliki teknik bagus dan tahap bola sepak mereka lebih tinggi daripada kita jadi ini perkara yang baik buat saya," kata pemain Johor Darul Ta'zim II itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 7:40 PM