PEMAIN skuasy Ng Eain Yow (kanan) ketika menentang Muhd Hafiz Zhafrin dalam premier lelaki di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jali. FOTO/OWEE AH CHUN
PEMAIN skuasy Ng Eain Yow (kanan) ketika menentang Muhd Hafiz Zhafrin dalam premier lelaki di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jali. FOTO/OWEE AH CHUN
Fadhli Ishak


PILIHAN utama, S Sivasangari tidak berdepan masalah memenangi aksi pembukaan Kejohanan Skuasy Kebangsaan Ohana di Bukit Jalil, hari ini.

Pemain berasal dari Kedah itu mempamer penguasaan apabila mudah menyingkirkan wakil Wilayah Persekutuan (WP), Aina Amani apabila menang straight set 11-7, 11-5, 11-8 di Pusat Skuasy Nasional untuk menempah tiket ke suku akhir.

Menantinya adalah pemain muda, Chan Yiwen yang menewaskan pilihan kelima, Aika Azman 11-4, 11-7, 15-13.

Sivasangari berkata, dia gembira dengan persembahannya selepas mengambil kira beberapa perkara.

“Beraksi dengan pemain remaja seperti Aina bukan mudah kerana tekanan lebih memihak kepada kami. Saya hanya cuba mempamer aksi terbaik.

“Ini adalah perlawanan pertama saya selepas berehat selama sebulan dan saya rasa ia sudah cukup bagus.

“Yiwen adalah pemain remaja sedang meningkat naik dan saya tidak menjangkakan satu perlawanan yang mudah,” katanya yang pada kejohanan sama tahun lalu kerana terbabit dengan peperiksaan.

Pilihan kedua, Low Wee Wern yang baru kembali beraksi selepas berehat selama 20 bulan akibat kecederaan, turut menempah tiket ke suku akhir selepas menewaskan wakil Selangor, Zoe Foo 11-7, 11-4, 11-3.

Dia akan bertemu pemain Pulau Pinang, Ooi Kah Yan yang menewaskan Lee Jia Wei 11-6, 11-5, 11-6.

Pemain pilihan seperti Rachel Arnold (WP), Lai Wen Li (Sabah), Aifa Azman (Kedah) dan Nazihah Hanis Abd Razak (Kedah) turut mara ke suku akhir.

Dalam kategori lelaki pula, pilihan utama, Nafiizwan Adnan (Terengganu) mara ke suku akhir selepas menewaskan Ooi Jian Qi (Pulau Pinang) 11-4, 11-7, 11-6.

Juara bertahan, Ivan Yuen (Selangor) turut mara apabila menewaskan Ng Jo Wern 11-7, 11-6, 11-4 dan pilihan kedua, Ng Eain Yow (WP) juga tidak berdepan masalah menewaskan Muhd Hafiz Zhafri (Kedah) 11-4, 11-7, 11-5.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 2:16 AM