MESUT OZIL
MESUT OZIL
Agensi

LONDON: Mesut Ozil akan memakai jersi nombor 10 Arsenal pada saingan musim depan susulan ketiadaan Jack Wilshere yang berpindah.

 Pemain tengah Jerman itu sebelum ini memakai jersi nombor 11 sejak menyertai kelab berkenaan pada 2013. Pengumuman itu dibuat skuad The Gunners menerusi akaun Twitter rasmi milik kelab itu.

 Jersi nombor 10 sebelum ini menjadi milik Wilshere yang kini meninggalkan Stadium Emirates selepas tidak menyambung kontrak bersama kelab berkenaan.

 Ozil, 29, mengakui bangga dapat berkongsi nombor jersi yang turut pernah dipakai oleh idolanya sejak zaman kanak-kanak.

 "Ia bukan rahsia betapa istimewanya nombor ini kepada saya. Idola saya sejak zaman kanak-kanak iaitu Zinedine Zidane turut memakai jersi dengan nombor ini dan dia masih pemain tengah yang paling berkarisma.

 "Saya teruja untuk memakai jersi dengan nombor baru ini buat kali pertama bersama Arsenal selepas cuti musim panas," kat Ozil.

 Arsenal juga akan menggantikan jersi yang sudah dibeli penyokong untuk musim dengan dengan nombor 11 kepada 10.

 Beberapa pemain legenda kelab itu pernah menyarung jersi nombor 10 sepanjang sejarah kelab termasuk dua pemain antarabangsa Belanda, Robin van Persie dan Dennis Bergkamp.

 Ozil ketika ini sedang bercuti selepas Jerman tersingkir dalam saingan peringkat kumpulan pada kempen Piala Dunia 2018.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 1:53 PM