OZIL sah meninggalkan Arsenal. FOTO AFP
OZIL sah meninggalkan Arsenal. FOTO AFP
AFP

Istanbul: Mesut Ozil mengesahkan meninggalkan Arsenal untuk menyertai kelab Turki, Fenerbahce selepas sekian lama dibekukan di Gunners.

"Saya sangat gembira dan teruja. Tuhan memberikan saya peluang untuk menyarung jersi Fenerbahce. Saya akan menyarungnya dengan penuh bangga dan memberikan segala-galanya kepada pasukan," kata Ozil dalam satu temuramah bersama stesen televisyen Turki, NTV.

Bekas penyerang Jerman itu berkata, dia berkunjung ke Istanbul bersama keluarganya sekali gus menamatkan hubungan selama tujuh tahun setengah bersama Arsenal yang semakin malap di bawah bimbingan Mikel Arteta.

Pemain berusia 32 tahun itu tidak beraksi untuk kelab Liga Perdana itu sejak mac 2020 dan dilaporkan kontrak gaji sebanyak £350,000 (RM1.9 juta) akan berakhir pada hujung musim ini.

Ozil pada sesi temuramah itu menegaskan bahawa dia berada pada tahap terbaik di sebalik tidak beraksi dalam tempoh yang lama.

Akhbar sukan harian Fanatik melaporkan Ozil akan menandatangani kontrak selama tiga tahun setengah bersama Fenerbahce bernilai 5 juta euro (RM24 juta) semusim.

Jurucakap Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, Ibrahim Kalin pula membalas hantaran Ozil di Twitter dengan berkata: "Semoga selamat sampai."

Ozil yang berasal dari Turki, menerima kritikan hebat di Jerman kerana bergambar bersama Erdogan pada 2018.

Erdogan juga hadir pada majlis perkahwinan pemain itu di Turki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 10:41 AM