JOHN OBI MIKEL
JOHN OBI MIKEL
AFP

ABUJA: Bapa kepada kapten Nigeria di Piala Dunia, John Obi Mikel yang diculik minggu lalu sudah dibebaskan, kata pihak polis, hari ini.

“Michael Obi, bapa kepada kapten (Super) Eagles, sudah dibebaskan,” kata jurucakap polis daerah Enugu yang terletak di tenggara Nigeria, Ebere Amaraizu.

Amaraizu berkata, penculik tidak mencederakan mangsa selepas mengacukan senjata api pada Khamis lalu di Enugu tetapi mereka memaksanya berjalan berkaki ayam kira-kira lima kilometer (KM) dalam keadaan hujan lebat.

Dia berkata, kapten Eagles itu membayar RM113,282 (10 juta naira) sebagai wang tebusan kepada penculik untuk membebaskan bapanya yang berusia dalam lingkungan 60 tahun.

Amaraizu juga berkata, tiada tangkapan dilakukan tetapi pihak polis masih menjejaki penculik.

Bapa Obi pernah diculik sebelum ini di tengah bandar Jos pada 2011.

Penculikan individu yang terkemuka, kaya dan ahli keluarga mereka adalah perkara biasa di selatan Nigeria. Mangsa kebiasaannya dibebaskan tanpa kecederaan selepas wang tebusan dibayar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 5:30 PM