PAOLO Guerrero.
PAOLO Guerrero.
HM Digital

PERU yang berdepan ancaman besar dengan penggantungan kapten dan penjaring utama, Paolo Guerrero sebelum larangan itu ditarik balik kelmarin akan lebih bermotivasi untuk melakukan kejutan pada Piala Dunia.

Negara terakhir yang ke pusingan akhir tahun ini menerusi playoff, skuad Los Incas tidak menyertai kejohanan sejak 1982 dan dijangka tidak mampu pergi jauh.

Melihat kepada lawan dalam Kumpulan C - Australia, Denmark dan Perancis akan memberi ancaman buat Peru walaupun mereka menjangkakan mampu meraih tiga mata dengan kehadiran semula Guerrero.

Mendapat semangat selepas berdekad kecewa, Ricardo Gareca berjaya membawa Peru ke pusingan akhir Piala Dunia buat pertama kali sejak 36 tahun.

Namun jurulatih itu tidak mahu berhenti di situ, sambil berharap dia boleh membina pasukan kejutan dan meraikan kepulangan kaptennya, Guerrero.

“Saya tidak tahu sama ada kami akan menang Piala Dunia, saya tidak tahu bagaimana kami akan beraksi, tapi saya boleh beritahu bahawa kami sudah bersedia untuk usaha paling maksimum,” kata jurulatih dari Argentina itu.

“Objektif kami ialah layak daripada kumpulan. Walaupun ia sukar, kami akan mencuba.”

Selaku pasukan bukan pilihan di Piala Dunia, Peru berkedudukan ke-11 ranking FIFA dan semakin yakin selepas melalui dua pusingan kelayakan zon Amerika Selatan.

Keputusan seri 2-2 di tempat lawan menentang Venezuela pada Mac 2017 memberikan Peru rekod tanpa kalah dan menyingkirkan Chile menerusi perbezaan gol untuk tempat kelima dan kemudian menewaskan New Zealand 2-0 dalam dua perlawanan timbal balas.

Sejak itu Peru meraih dua kemenangan berdepan lawan Eropah, Croatia dan Iceland – dalam perlawanan persahabatan dan membuktikan tempat mereka di pusingan akhir bukanlah atas faktor nasib.

“Kami akan berdepan pasukan yang dipenuhi pemain tahap tertinggi,” kata Gareca, yang menggembirakan hati rakyat Peru apabila jaringannya buat Argentina menyekat negara itu layak pada 1986 namun kini menjadi idola negara itu. “Tapi kami juga ada pemain hebat.”

Peru juga ada pemain berbakat seperti Jefferson Farfan, sayap berusia 33 tahun yang bermain buat Lokomotiv Moscow dan Renato Tapia, pemain berusia 22 tahun mewakili Feyenoord serta boleh bermain di tengah dan pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 5:32 AM