GUERRERO (tengah) ketika disoal media selepas perlawanan menentang Argentina. FOTO/REUTERS
GUERRERO (tengah) ketika disoal media selepas perlawanan menentang Argentina. FOTO/REUTERS
AFP

LIMA: Harapan Peru untuk melangkah ke Piala Dunia terganggu apabila penyerangnya yang berpangkalan di Brazil, Paolo Guerrero dilaporkan berdepan ‘keputusan luar biasa’ dalam satu ujian dadah selepas perlawanan.

Media di Peru dan Brazil melaporkan pemain berusia 33 tahun yang beraksi bersama kelab Flamengo itu diuji ketika aksi kelayakan Piala Dunia yang berkesudahan mereka terikat 0-0 dengan Argentina, pada 5 Oktober lalu.

Peru dijadual bertemu New Zealand untuk dua perlawanan dalam aksi kelayakan bulan ini dan pemenang layak mendapat tempat ke Piala Dunia di Russia, tahun depan.

“Apa yang terjadi ketika ini ialah ujian luar biasa untuk penggunaan bahan perangsang dan kes ini tidak dianggap sebagai keputusan yang positif,” kata ketua jawatankuasa anti doping, Fernando Solera di Persekutuan Bola Sepak Brazil.

“Ketika ini, Guerrero tidak dianggap sebagai doping.”

   GUERRERO perlu bela diri untuk kes doping. FOTO/REUTERS
GUERRERO perlu bela diri untuk kes doping. FOTO/REUTERS

“Kami tidak boleh bercakap mengenai bahan yang dipersoalkan - pemain mempunyai hak untuk mempertahankan diri dan menunjukkan apakah jenis bahan ini,” tambah Solera.

Peru dijadual bertemu New Zealand pada 11 dan 15 November ini.

Sementara itu, dalam perkembangan terkini, Persekutuan Bola Sepak Peru (FPF), mengumumkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), menggantung kapten Peru itu selama 30 hari selepas disahkan gagal dalam ujian berkenaan.

Bagaimanapun, badan induk itu tidak mendedahkan butiran lengkap mengenai hukuman, namun menegaskan ia berkaitan dengan keputusan ujian yang tidak memuaskan ketika aksi kelayakan Piala Dunia menentang Argentina.

“FPF menghormati keputusan FIFA dan yakin, hasil keputusan penuh dan tindakan akan diperjelaskan tidak lama lagi,” umum FPF melalui akuan sosial Twitter tanpa mendedahkan keputusan penuh ujian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 8:55 AM