ZULFADLI ZULKIFFLI
ZULFADLI ZULKIFFLI
Helmi Talkah

PEMAIN profesional badminton negara, Zulfadli Zulkiffli seharusnya menjadi contoh dan tidak terjebak dengan aktiviti yang boleh menjurus kepada tanggapan negatif masyarakat.

Walaupun bekas juara remaja dunia itu menafikan terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan, dia secara terbuka mengaku berjudi di kasino sebagai alasan mempertahankan dirinya.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Lokman Hakim Ali berkata, sebagai atlet kebangsaan pemain berusia 25 tahun itu seharusnya menunjukkan tahap disiplin yang tinggi.

“Saya ingin memberi penekanan dalam kes Zulfadli ini, sebagai seorang atlet kebangsaan, dia sudah pasti dijadikan contoh ikutan khususnya golongan muda,” kata Lokman.

“Namun, apabila dia mengakui berjudi di kasino, ia pastinya memberi implikasi cukup besar kepada tanggapan masyarakat. Kita sering ingatkan kepada atlet yang mana mereka perlu sentiasa menjaga disiplin pada tahap tertinggi.

“Mereka dilarang terbabit dengan sebarang aktiviti kurang bermoral, kita tidak boleh berkompromi dengan atlet yang tidak berdisiplin.”

Mengulas mengenai permohonan Zufadli yang meminta KBS dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membantunya dalam proses mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Lokman berkata pihaknya akan memberi sokongan penuh terhadap keputusan dibuat BAM.

Zulfadli didapati bersalah mengatur perlawanan dan dikenakan hukuman gantung selama 20 tahun serta denda AS$25,000 (RM98,537).

“Saya dimaklumkan Zulfadli sudah menghantar permohonannya kepada BAM. Jadi, KBS menunggu laporan BAM dan menyokong penuh sebarang keputusan badan induk itu.

“Jika BAM membuat keputusan untuk tidak membantu, KBS akan mengambil tindakan sama. Begitu juga sebaliknya. Semuanya kini bergantung kepada BAM kerana mereka badan bertanggungjawab dalam sukan badminton kebangsaan,” katanya.

Lokman secara peribadi percaya BWF pastinya mempunyai alasan dan bukti kukuh sebelum badan induk badminton dunia itu menjatuhkan hukuman.

“Tindakan diambil semestinya selepas menjalankan siasatan secara menyeluruh dan bukti kukuh. Saya juga membaca laporan dikeluarkan BWF dalam kes ini dan jelas mereka ada alasan tersendiri,” katanya.

Selain Zulfadli, seorang lagi pemain profesional, Tan Chun Seang turut didapati bersalah dan dikenakan hukuman gantung 15 tahun serta denda AS$15,000 (RM59,122).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 2:02 PM