ERNESTO VALVERDE
ERNESTO VALVERDE

BARCELONA: Jurulatih Barcelona, ​​Ernesto Valverde nengakui pasukannya belum memberi aksi terbaik walaupun membenam Roma 4-1 pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Dua gol sendiri dari Daniele De Rossi dan Kostas Manolas dan jaringan jarak dekat Gerard Pique membolehkan skuad Catalans mendahului 3-0 di Camp Nou sebelum Edin Dzeko meledak gol lewat buat Roma.

Namun, ketika kelab Itali itu cuba mencari jaringan untuk menghidupkan peluang mereka, Luis Suarez menambah kelebihan Barcelona apabila meledak gol keempat pada minit ke-87.

Keputusan itu bermakna Barca akan menuju ke Itali minggu depan dengan bekalan selesa dan sudah sebelah kaki ke separuh akhir

“Kami tidak mempunyai kesinambungan dalam permainan,” kata Valverde. “Kami melakukan beberapa kesilapan dan ada kalanya terlalu cepat untuk menyerang.”

Barca juga bernasib baik apabila pengadil, Danny Makkelie tidak memberi penalti pada awal permainan kepada Roma selepas Nelson Semedo menolak Dzeko dari belakang.

“Mereka sudah cukup baik, mereka tidak memerlukan bantuan,” kata jurulatih Roma, Eusebio Di Francesco. “Malam ini mereka mendapat dua bantuan termasuk dari pengadil dan kami.”

Selepas jaringan menarik Cristiano Ronaldo bersama untuk Real Madrid, semalam, Lionel Messi, kembali dari kecederaan, namun dia mengharungi hari yang mengecewakan apabila percubaan dan aksi gelecek tidak membuahkan hasil untuk pasukannya.

Messi kembali berada dalam senarai kesebelasan utama selepas pulih daripada kecederaan hamstring bersama Sergio Busquets ketika berdepan Chelsea tiga minggu lalu.

Namun, Messi menyempurnakan aksi penuh 90 minit dan Busquets terpaksa digantikan Paulinho pada pertengahan babak kedua.

“Busquets bermain dengan kurang selesa kerana kecederaannya,” kata Valverde. “Dia banyak bergelut dan kami terpaksa melakukan pertukaran, tapi ia menjejaskannya.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 8:42 AM