RONALDINHO menjulang piala pada Jelajah Piala Liga Juara-Juara Eropah. -Foto BERNAMA
RONALDINHO menjulang piala pada Jelajah Piala Liga Juara-Juara Eropah. -Foto BERNAMA
Aziman Rosdi

KUALA LUMPUR: Tawaran menarik bekas Pemain Terbaik Dunia dari Brazil, Ronaldinho yang menyatakan minat untuk bermain dalam Liga Malaysia (Liga-M) secara percuma membuatkan ada pasukan tempatan yang tak senang duduk.

Antaranya Perak yang melihat kehadiran Ronaldinho mampu memberikan tarikan hebat seluruh dunia andai bekas pemain Barcelona itu beraksi di negara ini.

Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, mereka berminat untuk ‘merisik’ tawaran Ronaldinho itu biarpun mengakui sudah berpuas hati dengan persembahan pemain import yang ada dalam pasukan The Bos Gaurus.

“Saya tengok berita, dia (Ronaldinho) kata percuma, tapi kita tak boleh nak kata apa-apa sebab walaupun dia kata percuma, apa yang percuma? mungkin gaji saja dan yang lain-lain tak, sebab dia star (bintang).

“Lagi satu kita pun sudah ada tiga pemain import luar daripada kuota Asean dan pada saya prestasi mereka juga bagus. Takkan kita nak gugurkan seorang untuk ambil pemain yang belum tentu boleh main sampai habis musim,” katanya.

Sukan NSTP semalam melaporkan, Ronaldinho secara terbuka menyatakan berminat untuk bermain di Malaysia tanpa sebarang bayaran kerana keghairahan peminat bola sepak di sini serta layanan baik yang diterimanya ketika dua kali berkunjung ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun pemain skuad juara Piala Dunia Brazil 2002 itu sudah mengumumkan persaraan Januari lalu dan kini hanya memberi fokus kepada akademi bolasepak miliknya dan kariernya sebagai pemuzik.

Puhat berkata, pihaknya sedia untuk mencuba nasib andai benar Ronaldinho benar-benar serius dengan tawaran itu.

“Insya Allah kita cuba, pada saya tawaran itu menarik lah, kita boleh kaji, mungkin betul kita pun boleh ambil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 5:01 PM