VAN Huizen (tengah) beri kata semangat kepada anak buahnya. -Foto YAZIT RAZALI
VAN Huizen (tengah) beri kata semangat kepada anak buahnya. -Foto YAZIT RAZALI
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid


JURULATIH skuad hoki lelaki negara, Stephen Van Huizen perlu menggunakan baki tiga hari yang ada untuk membantu pemainnya mengawal kebimbangan apabila bertemu India dalam perlawanan ketiga Kumpulan B Sukan

Komanwel di Stadium Hoki Gold Coast pada Selasa ini.

Pada hari ini, Malaysia kembali bangkit menewaskan Wales 3-0 selepas dibelasah 7-0 oleh England dalam perlawanan pertama semalam.

Fitri Saari menjaringkan gol pembukaan apabila pemain itu berjaya menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-19, sebelum Joel Van Huizen menjaringkan gol kedua pada minit ke-36 menerusi bola muntah ketika cubaan pukulan sudut penalti bagi menjaringkan gol kedua dalam kariernya .

Faizal Saari pula memperoleh jaringan daripada jarak dekat selepas menerima hantaran bola Fitri pada minit ke-55 bagi jaringan terakhir.

“Kami bermain lebih bagus berbanding semalam. Bagaimanapun, beberapa pemain muda kami kelihatan gugup.

“Saya boleh melihat kebimbangan mereka biarpun selepas kami menjaringkan gol pertama, yang mana tidak sepatutnya berlaku.

“Tetapi semuanya lebih baik selepas kami menjaringkan gol kedua dan ketiga. Kami akan menggunakan rehat ini untuk kembali cergas dan juga membaiki taktikal permainan kami.

“Bahang panas juga mengganggu rentak permainan tetapi ia bukanlah satu alasan kerana semua pasukan perlu mengadaptasi dengan keadaan ini.

Malaysia akan bertemu India pada Selasa ini, diikuti Pakistan pada keesokan harinya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 4:59 PM