PEMAIN Pahang, Patrick Dos Santos (kiri) mengasak penjaga gol Johor DT, Mohd Farizal Marlias (kanan) pada saingan Suku Akhir Piala FA 2018 di Stadium Darul Makmur. - Foto Farizul Hafiz Awang
PEMAIN Pahang, Patrick Dos Santos (kiri) mengasak penjaga gol Johor DT, Mohd Farizal Marlias (kanan) pada saingan Suku Akhir Piala FA 2018 di Stadium Darul Makmur. - Foto Farizul Hafiz Awang
Oleh Asrol Awang


PAHANG menempah laluan sukar apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir pertama bola sepak Piala FA di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Tuan rumah gagal memperagakan aksi terbaik mereka sebaliknya Harimau Selatan lebih banyak memberi tekanan terutama pada separuh masa pertama.

Pada babak pertama, pelawat jelas menguasai perlawanan berbanding Pahang yang gagal memberi tekanan kepada lawan.

Peluang terbaik JDT hadir menerusi sepakan percuma kapten Safiq Rahim tetapi bola terkena palang walaupun penjaga gol tuan rumah, Helmi Eliza Elias sudah tertewas pada minit ke-39.

Pahang berusaha untuk mendapatkan jaringan pendahuluan tetapi terpaksa akur gagal memecah kebuntuan pada babak pertama.

Selepas rehat, tuan rumah seolah-olah mula menemui rentak dengan melakukan asakan ke kubu lawan.

Namun kekentalan jentera pertahanan lawan menafikan peluang tuan rumah yang memerlukan kemenangan sebagai bekalan apabila bertemu pada suku akhir kedua di Larkin, 20 April ini.

Bagi Pahang, tugas berat menanti mereka kerana JDT terlalu kebal di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 11:38 PM