PELUMBA berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang selepas tamat acara keirin lelaki akhir pada Sukan Komanwel 2018 di Velodrom Anna Meares. - Foto BERNAMA
PELUMBA berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang selepas tamat acara keirin lelaki akhir pada Sukan Komanwel 2018 di Velodrom Anna Meares. - Foto BERNAMA
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid


JANGKITAN virus yang dialami jagoan berbasikal negara Azizulhasni Awang benar-benar memberi kesan terhadapnya apabila menamatkan perlumbaan akhir keirin di Velodrom Anna Meares di tangga keenam hari ini.

Meskipun memberi tentangan hebat sejak awal perlumbaan, Azizul tidak mampu mengejar apabila Matt Glaetzer dari Australia, Lewis Olivia (Wales) dan Edward Dawkins (New Zealand) memintasnya di peringkat akhir perlumbaan, masing-masing memenangi emas, perak dan gangsa.

Apa yang turut mengecewakan Azizul, dia gagal memberikan ‘hadiah hari lahir’ buat jurulatih John Beasley yang berusia 56 tahun hari ini.

“Saya sudah melakukan yang terbaik untuk mendapatkan posisi terbaik tapi apabila mereka memintas saya, saya tidak dapat berbuat apa-apa,” kata Azizulhasni ketika ditemui selepas perlumbaan.

“Saya cuba berkayuh tapi tak boleh pergi. Dada saya rasa seperti mahu pecah akibat kekurangan oksigen.”

Dia mengakui tempoh rehat singkat turut menyukarkannya mempamerkan aksi terbaik.

“Perlumbaan pertama dan kedua memang sempurna tapi dari separuh akhir ke akhir, tempoh rehat begitu singkat iaitu 50 minit dan tidak sempat untuk saya kembali cergas,” katanya.

“Namun saya tidak dapat mengawal apa yang akan berlaku jadi saya hanya mampu mengawal apa yang boleh saya lakukan, hanya bernafas dalam-dalam, tenangkan fikiran dan terus berkayuh.

“Sewaktu di garisan permulaan, saya berada di tahap 60 hingga 70 peratus, tak sempat untuk pulih. Malah John juga nampak saya seperti mengalami kesukaran tapi hanya memberitahu saya selepas itu.”

Justeru Azizul berterima kasih kepada Beasley kerana tidak membenarkannya menyertai acara pecut dengan misi berikutnya ke Sukan Asia Indonesia selepas ini.

“Ini bukan Sukan Komanwel terakhir saya. Saya akan berkayuh pada temasya berikutnya.”

Bagi Beasley anak buahnya sudah melakukan yang terbaik tetapi dengan keadaan kesihatannya itu sukar untuk melakar pencapaian lebih bagus.

“Dia sudah memberikan sehabis mungkin untuk memenangi perlumbaan hingga tiada apa yang tinggal. Kami akan pastikan dia akan kembali sihat dan bertanding,” kata Beasley.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 9:13 PM