ANNAS (kiri) mahu rakan sepasukan bersemangat buru kemenangan. FOTO/FAIL
ANNAS (kiri) mahu rakan sepasukan bersemangat buru kemenangan. FOTO/FAIL
Mohd Amin Jalil


PERTAHANAN tengah PKNS FC, Annas Rahmat bertekad untuk menggunakan pengalamannya bagi membantu pasukan itu mengatasi Perak pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Musim lalu, bekas penolong kapten Negeri Sembilan itu berjaya membantu skuad itu layak ke separuh akhir sebelum disingkirkan Pahang.

Baginya, kelebihan yang dimiliki PKNS kerana beraksi di laman sendiri Sabtu ini tidak harus dipersia-siakan bagi mencatat kemenangan sebelum berdepan perlawanan kedua di tempat lawan.

“Memang rugi jika kami gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri walaupun kami tahu Perak bukan calang-calang pasukan dan mudah ditewaskan, tapi kami perlu menggunakan peluang terbaik itu untuk menang.

“Tambahan pula kami sudah sampai ke suku akhir dan seharusnya tidak menoleh ke belakang sebaliknya perlu terus fokus kepada misi memburu kemenangan bagi menjulang nama pasukan dalam kempen Piala FA musim ini.

“Saya dan rakan akan berjuang habis-habisan pada perlawanan Sabtu ini untuk melakar kemenangan bagi memudahkan laluan ke separuh akhir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Annas adalah antara pemain muda yang berjaya dilahirkan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) apabila dia mula mendapat pendedahan selepas menyertai skuad Piala Presiden negeri itu.

Bagaimanapun musim ini, pemain berasal dari Seremban berusia 24 tahun itu beralih arah apabila menyertai PKNS FC, yang mendapat sentuhan pengendali berpengalaman, Datuk K Rajagobal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 8:29 PM