LONGHI (kanan) mahu anak buah fokus jumpa Tampines.   FOTO/HAIRUL ANUAR RAHIM
LONGHI (kanan) mahu anak buah fokus jumpa Tampines. FOTO/HAIRUL ANUAR RAHIM
Rizar Mohd Noor

JURULATIH Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi tetap anggap ia perlawanan sukar apabila berdepan Tampines Rovers pada aksi Kumpulan H saingan Piala AFC Zon ASEAN di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam esok.

Longhi yang mengambil tugas Ulisses Morais menyifatkan kelab dari Singapura memiliki kekuatan tersendiri dan mampu menidakkan usaha skuad Harimau Selatan memburu kemenangan seandai beraksi sambil lewa.

Katanya, aksi sepanjang pusingan pertama membanggakan walaupun hanya melakar satu kemenangan ketika menewaskan Persija Jakarta 3-0 namun tewas kepada Song Lam Nghe An FC 0-2 dan mencatat keputusan seri 0-0 dengan Tampines Rovers.

“Kita akan menempuh fasa pusingan kedua. Sudah tentu kami akan tampil lebih mantap dalam usaha memburu kemenangan apabila kesempatan beraksi di tempat sendiri tidak harus dilepaskan.

“Kita menghormati Tampines Rovers selaku pasukan terbaik di Singapura dan mereka pasti akan mempamerkan corak berbeza.

“Apa yang penting dalam skuad JDT, tidak kira sama ada pemain tempatan atau import, mereka akan beraksi lebih 100 peratus dan kerap memperagakan aksi terbaik malah ketika menentang Tampines Rover, baru-baru ini, kita sepatutnya menang namun nasib tidak menyebelahi JDT,” katanya.

Longhi mengesahkan Luciano Figueroa tidak dapat diturunkan pada perlawanan itu kerana belum pulih daripada kecederaan dan kemungkinan barisan penyerang tempatan akan mengemudi jentera serangan.

Selain itu katanya, kelibat Marcos Antonio juga belum pasti disenaraikan dalam kesebelasan utama dan apa jua keputusan bergantung kepada latihan terakhir sama ada dia dapat beraksi atau tidak.

“Sama ada saya menyenaraikan kesemua pemain tempatan atau tidak, itu bukan masalah kerana saya berpuas hati dengan komitmen mereka kerana ketika aksi di Stadium Jalan Besar, mereka menunjukkan kesungguhan dan berjaya mencemaskan benteng pertahanan lawan.

“Untuk aksi menentang Tampines Rovers, saya mahu pemain memberi fokus melebihi 120 peratus kerana kemenangan mampu meletakkan JDT di landasan terbaik untuk mara ke pusingan seterusnya,” kata Longhi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 5:41 PM