IBRAHIMOVIC dikaitkan dengan LA Galaxy.
IBRAHIMOVIC dikaitkan dengan LA Galaxy.
Reuters

MANCHESTER: Penyerang Manchester United, Zlatan Ibrahimovic dijangka akan meninggalkan pasukan itu di penghujung musim ini, kata pengurus, Jose Mourinho.

Kontrak penyerang berusia 36 tahun itu yang menyertai United pada 2016 akan berakhir pada musim ini dengan dia dikaitkan dengan penghijrahan ke LA Galaxy.

Mourinho menjelaskan Ibrahimovic boleh meninggalkan Old Trafford, Mei ini namun dia tidak tahu sama ada penyerang Sweden itu akan bersara ataupun mencari cabaran baharu bersama pasukan lain.

“Kami semua berfikir ini adalah musim terakhir Zlatan di Manchester United. Namun semuanya terpulang kepada dia sama ada mahu terus bermain ataupun tidak,” kata Mourinho.

“Dia berhak untuk memilih apa yang terbaik dalam hidupnya, masa depannya.

“Dia adalah pemain yang menakjubkan dengan karier yang hebat tetapi kecederaannya datang pada masa yang salah dan ia merosakkan beberapa musim yang hebat dia peroleh dan sepatutnya dapat bersama kami.”

Ibrahimovic adalah penjaring terbanyak United musim lalu dengan 28 gol dalam 46 penampilan dan merangkul Piala Liga serta Liga Europa.

“Dia bergelut pada musim ini. Dia tidak cedera. Adakah dia gembira, bersedia dan yakin bahawa dia berada dalam keadaan terbaik untuk membantu pasukan ketika ini?

“Tidak tetapi dia adalah seorang pemain yang jujur dan hanya mahu kembali dengan perasaan ‘saya sudah bersedia sepenuhnya’.

“Jadi dia bekerja keras dan saya mengharapkan perkembangannya dapat membawa dia ke tahap yang dia mahukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 12:04 AM