VALVERDE tidak bimbang dengan ancaman Chelsea. FOTO/AFP
VALVERDE tidak bimbang dengan ancaman Chelsea. FOTO/AFP
Agensi

LONDON: Ernesto Valverde memberi amaran kepada Chelsea supaya sedia menanti skuad Barcelona yang ‘berbeza’ dalam pertembungan peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu ini.

Pada aksi terakhir La Liga kelab gergasi Sepanyol itu, kelmarin, mereka bergelut sebelum menewaskan Eibar 2-0 untuk mengekalkan kelebihan di puncak liga.

Begitupun, bos Barca itu menegaskan kelab kendaliannya akan berada di prestasi terbaik ketika berkunjung ke Stamford Bridge.

“Saya tidak terlalu bimbang mengenai Chelsea, atau objektif kami untuk menang sekali lagi. Di Ipurua (stadium Eibar), semua orang bergelut, tiada siapa yang mencatat kemenangan mudah, tetapi cerita bagi Selasa (Rabu pagi) berbeza.

“Perlawanan ini amat penting bagi kami, justeru penting untuk kami menang dan meraih momentum.

“Kami gembira dengan apa yang sedang berlaku, dan ia bermakna kami melakukan perkara yang betul. Kini kami perlu meneruskannya.”

Barcelona menurunkan pemain veteran Sepanyol, Andres Iniesta, 33 bagi aksi di Eibar dengan merehatkan Philippe Coutinho sekali pun pemain Brazil itu tidak layak beraksi di Liga Juara-Juara.

Valverde berkata keputusannya adalah disebabkan dia mahu memberikan Iniesta peluang lebih bermain ketika khabar angin yang mengaitkan pemain itu perpindahan China sedang bertiup kencang.

Iniesta dikatakan menerima tawaran lumayan untuk menyertai kelab Tianjin Quanjian, tetapi pemain tengah Chelsea, Cesc Fabregas yang juga bekas rakan sepasukannya di Barca berkata dia masih lagi pemain di kelas dunia.

“Dia masih bagus, bagi pemain sepertinya, usia bukan satu masalah besar. Apabila kamu mempunyai bakat, kelas yang dimiliki oleh pemain sepertinya dan juga pemain-pemain ‘hebat’ lain, mereka boleh bermain hingga lewat 30-an.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 3:30 PM