HAZARD (tengah) akui aksi Liga Juara-Juara jejas peluang ungguli Liga Perdana. -Foto Reuters
HAZARD (tengah) akui aksi Liga Juara-Juara jejas peluang ungguli Liga Perdana. -Foto Reuters
AFP

LONDON: Pengatur serangan Chelsea Eden Hazard percaya misi mempertahankan kejuaraan mereka di Liga Perdana Inggeris terjejas sebaik kembali menyertai Liga Juara-Juara musim ini.

Biarpun pemain Belgium itu meledak gol ke-13 musim ini, Chelsea tumbang 1-4 kepada Watford pada awal pagi Selasa untuk kekal di tangga keempat Liga Perdana Inggeris, ketinggalan 19 mata berbanding pendahulu liga Manchester City.

“Saya fikir Liga Perdana begitu sukar. Sukar untuk menang setiap tahun,” kata Hazard kepada ESPN FC.

“Tahun lalu kami tidak menyertai Liga Juara-Juara. Tahun ini kami kesuntukan masa untuk persiapan perlawanan. Terdapat tiga perlawanan setiap minggu.”

Biarpun spekulasi terhadap masa depannya semakin hangat, pengurus Chelsea Antonio Conte enggan menjadikan isu keletihan pemainnya sebagai alasan.

“Pemenang mencari penyelesaian, yang kalah mencari alasan. Dalam hidup saya, saya mahu menjadi pemenang dan saya seorang pemenang,” kata jurulatih kelahiran Itali itu.

Bagaimanapun dengan kedudukannya semakin terancam, Chelsea berdepan minggu mencabar selepas kunjungan West Brom ke Stamford Bridge awal pagi Selasa.

Perlawanan menentang Hull City pada pusingan kelima Piala FA diikuti kunjungan Barcelona dalam aksi pertama 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara pada 20 Februari, sebelum kunjungan ke Manchester United dan City dalam aksi liga disusuli aksi timbal balik Liga Juara-Juara di Camp Nou pada 16 Mac.

Conte berulang kali meluahkan rasa kurang senang terhadap strategi pembelian pemain berikutan pemergian beberapa pemain utama dalam kempen Chelsea musim lalu seperti Diego Costa dan Nemanja Vidic.

Tiemoue Bakayoko terus mempamerkan aksi hambar di England sejak dibawa dari Monaco dengan bayaran tinggi selepas dibuang padang selepas setengah jam perlawanan di Watford, manakala pemain termahal kelab Alvaro Morata terus bergelut mengisi kekosongan Costa berikutan aksi tidak menentu dan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 12:58 PM