MANIAM (tengah) mahu anak buah fokus jumpa Kuala Lumpur. FOTO/FAIL
MANIAM (tengah) mahu anak buah fokus jumpa Kuala Lumpur. FOTO/FAIL
Syafiq Aznan


MESKIPUN Selangor lebih gemilang menerusi 39 kemenangan dalam 64 pertemuan bertemu Kuala Lumpur namun pencapaian lampau tidak boleh dijadikan ukuran pada pertembungan nostalgik aksi tetangga Lembah Klang di Stadium Cheras, malam esok.

Situasi itu diakui pengendalinya, P Maniam yang mengingatkan barisan pemainnya supaya berjaga-jaga untuk berdepan cabaran pasukan ‘The Hawks’ yang sudah pasti tampil dengan semangat yang tinggi memandangkan perlawanan itu adalah perlawanan pembukaan mereka di venue baharu untuk musim ini.

“Pencapaian lampau itu boleh juga menjadi suntikan motivasi kepada kami namun tidak boleh memandang rendah keupayaan Kuala Lumpur. Saya lihat pasukan itu dibentuk dengan cukup baik dan turut dibarisi pemain yang memiliki kualiti.

“Dengan status selaku juara Liga Perdana, mereka tentu mahu menunjukkan aksi yang setara dengan gelaran dimenangi pada musim lalu. Apa yang saya boleh rumuskan, aksi pembukaan sentiasa memberi cabaran sukar kerana masing-masing mahu memburu kemenangan.

“Apapun, kami juga sudah bersedia sepenuhnya dan barisan pemain sudah pasti akan memberikan yang terbaik dalam usaha melakar keputusan yang positif,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aksi malam esok adalah aksi tetangga Lembah Klang yang pertama dalam pertembungan liga sejak 2013 namun mereka pernah bertemu dalam aksi Piala Malaysia 2016 apabila diundi dalam kumpulan sama sebelum ini.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan pasukan itu, bekas jurulatih Air Asia FC itu memberi bayangan bahawa pemain import baharu pasukan itu, Alfonso de la Cruz belum lagi bersedia untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama bagi perlawanan esok.

“Alfonso baharu sahaja menyertai kita minggu lalu dan sempat menjalani beberapa sesi latihan sahaja, jadi berkemungkinan besar saya hanya akan menurunkan dia sebagai pemain gantian dan bergantung kepada situasi.

“Bagaimanapun, situasi ini tidak meresahkan saya kerana masih mempunyai dua pemain yang boleh diturunkan untuk mengisi posisi pemain tengah bertahan bagi perlawanan esok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 7:21 PM