PASUKAN takraw negara. FOTO FB Persatuan Sepaktakraw Malaysia
PASUKAN takraw negara. FOTO FB Persatuan Sepaktakraw Malaysia
Oleh Syafiq Aznan


Hangzhou: Selepas dihidangkan dengan aksi 'pemanas badan' di peringkat kumpulan dan separuh akhir, skuad takraw lelaki negara kini bersedia menghadapi 'perlawanan sebenar' dalam acara berpasukan lelaki pada temasya Sukan Asia 2022, esok.

Skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun itu kini hanya selangkah untuk mengenggam pingat emas, namun penghalang bagi mereka bukanlah 'biasa-biasa' kerana mereka berdepan juara bertahan, Thailand.

Ini bagaikan ulangan final bagi acara sama pada temasya 2018 di Jakarta-Palembang yang menyaksikan skuad negara terpaksa akur dengan kehebatan pihak lawan dan membawa pulang pingat perak.

Mengulas aksi penentuan pingat emas di Gimnasium JSC itu, Ahmad Jais mengakui pertembungan ini jauh berbeza berbanding ketika mereka melayan 'servis' Indonesia, Korea Selatan dan Laos sebelum ini.

Tegasnya, pasukan lawan sememangnya berada pada tahap yang lebih baik namun Malaysia tampak mampu mengecewakan pasukan pilihan itu jika 'kena' pada caranya di final nanti.

"Ini satu cabaran yang besar berbanding dua aksi sebelum ini kerana kita akan menentang juara bertahan. Kita harap pemain dapat memikul tanggungjawab diberikan lebih-lebih lagi bagaimana cara kita dapatkan pingat emas.

"Kita perlu lebih konsisten dan menunjukkan aksi yang jauh lebih baik berbanding dua perlawanan pertama sebelum ini. Kunci utama mencipta kejayaan adalah dari segi pertahanan, kawalan bola, serangan dan rejaman," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad mengakui setiap pemain sudah tentu mahukan pingat emas namun dia mengingatkan pemainnya supaya fokus sepenuhnya kepada 'hari peperangan'.

"Semua pasukan sudah tentu mahukan kejuaraan, begitu juga Thailand yang mahu mempertahankan pingat emas. Tetapi pada saya, lebih penting adalah bagaimana cara kita bermain di final esok (hari ini).

"Saya sentiasa ingatkan pemain mengenai apa yang perlu kita lakukan di final. Saya tidak mahu memberi tekanan kepada pemain supaya mereka dapat fokus pada final dan berikan aksi yang lebih baik.

"Kita juga mengharapkan sokongan penyokong dari tanah air sebagai tonik untuk kita menghadapi aksi final ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 2:06 PM