PEI Tty (kiri) pertahan pemainnya. FOTO/FAIL
PEI Tty (kiri) pertahan pemainnya. FOTO/FAIL
Fabian Peter


WALAUPUN mempamerkan prestasi buruk, ketua jurulatih beregu wanita kebangsaan, Wong Pei Tty tetap mempertahankan pemainnya.

Selain daripada pasangan nombor dua kebangsaan, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, yang mara ke separuh akhir Masters Thailand awal bulan lalu, tiada pasangan Malaysia yang lain melepasi pusingan kedua Masters Malaysia, Masters Indonesia dan Terbuka India di New Delhi ketika ini.

Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum Kejohanan Badminton Berpasukan Asia bermula pada 6-11 Februari di Alor Setar, Kedah, kebanyakan jurulatih pasti akan menekan butang panik tetapi tidak Pei Tty

“”Saya tahu pemain tidak bermain baik, dan saya tidak mempertahankan mereka. Bagaimanapun saya perlu katakan jika kita lihat semula, mereka bukan tewas mudah. Lawan mereka benar-benar kuat dalam semua kejohanan itu.

“Apa yang saya boleh katakan pemain muda seperti Mei Kuan-Meng Yean sudah menunjukkan peningkatan, memberikan kita harapan jadi kita tidak terlalu bergantung kepada pemain senior seperti Vivian Hoo-Woon Khe Wei.

“Saya tidak boleh beritahu anda apa yang akan berlaku dalam kejohanan berpasukan, tetapi saya tahu kami semua akan cuba untuk mencipta sejarah. Sudah tentu kami mahu layak secara merit ke Piala Uber, namun masih awal untuk berkata apa-apa,” kata Pei Tty ketika dihubungi hari ini.

Bagi saingan berpasukan yang turut menjadi kelayakan ke Piala Thomas dan pusingan akhir Piala Uber di Bangkok pada Mei, Malaysia berada dalam Kumpulan Y bersama pasukan pilihan, Thailand, Vietnam dan Filipina.

Pada kejohanan sebelum ini di Hyderabad, India, Malaysia tewas 3-0 di tangan Thailand pada suku akhir namun masih layak ke Piala Uber dekat Kunshan, China, berdasarkan ranking dunia.

“Kami perlu percaya kepada diri sendiri, bahawa mereka boleh melakukannya. Tiada guna memikirkan bahawa kita akan tewas sebelum bermain. Jika begitu apa gunanya pergi ke sana?

“Pemain perlu memikirkan satu perlawanan kepada satu perlawanan, dan kemudian melihat siapa akan kita temui dan bermula kembali dari situ,” kata Pei Tty.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 6:17 PM