KIM Swee perlu persiapkan pemain B-21 lebih awal jika mahu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. -Foto Agensi
KIM Swee perlu persiapkan pemain B-21 lebih awal jika mahu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. -Foto Agensi
Daripada Aziman Rosdi Kunshan dan China


PENTAS Sukan Asia 2018 Jakarta dan Palembang pada Ogos ini mungkin terpaksa menjadi ‘korban’ bagi misi memburu tempat ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Untuk layak ke Tokyo, skuad bawah 23 tahun (B-23) negara perlu menduduki empat pasukan terbaik pada pusingan akhir Kejohanan B-23 AFC dua tahun lagi.

Dengan pusingan kelayakan ke pusingan akhir itu akan berlangsung tahun depan, jurulatih negara Datuk Ong Kim Swee perlu mempersiapkan pasukan lebih awal.

Antara perancangan yang kini menjadi pertimbangan adalah dengan memberi pendedahan kepada ramai pemain B-21 beraksi di Sukan Asia tahun ini.

“Kita ada beberapa cadangan seperti membawa pemain berusia 21 tahun sekarang ke Sukan Asia. Tapi kita kena tahu, kita tak boleh meletakkan apa-apa sasaran. Kalau kita ada sasaran, kita perlu hantar skuad terbaik.

“Jika tiada sasaran, saya lebih rela membawa pemain bawah 21 tahun di mana semua kelab gabungan, harus memberi pelepasan pemain ini. Kita tak meminta pemain berusia 23 tahun tapi pemain berusia 21 tahun ke bawah sebagai persiapan kita ke kelayakan 2019,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Skuad B-23 negara membuka mata ramai pihak apabila melakar sejarah mara ke suku akhir dan hampir melangkah lebih jauh namun tewas 1-2 kepada Korea Selatan di Stadium Kunshan, semalam.

Dengan pencapaian itu, Kim Swee percaya pemain negara sudah meletakkan satu penanda aras yang tinggi untuk dilepasi dengan aksi Sukan Olimpik Tokyo menjadi impian selepas kali terakhir layak 38 tahun lalu di Moscow.

“Walaupun kita bermain dengan baik seperti semalam dengan Korea Selatan. tapi saya tetap tak berpuas hati kerana kita tak layak ke separuh akhir.

“Kita tak boleh berhenti setakat sini, secara peribadi sasaran saya adalah layak ke Sukan Olimpik tapi dengan syarat saya mempunyai persiapan cukup baik, apa yang perlu saya lakukan adalah menjadi empat pasukan terbaik (Kejohanan B-23 AFC 2020),” kata Kim Swee.

Jepun tuan rumah Sukan Olimpik 2020 sudah membuat persiapan awal dengan menghantar pemain B-20 beraksi di Kejohanan AFC B-23 China biarpun tersingkir di suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 7:19 PM