JOHANNA ketepikan kecederaan untuk benam Madison. -Foto Reuters
JOHANNA ketepikan kecederaan untuk benam Madison. -Foto Reuters
AFP

MELBOURNE: Pemain taruhan Britain, Johanna Konta tidak terjejas dengan kecederaan yang dialaminya sebelum ini apabila mudah mengetepikan Madison Brengle dari Amerika Syarikat (AS) di Terbuka Australia, pagi ini.

Seramai 12 daripada 15 pemain AS tersingkir di pusingan pertama - termasuk Venus Williams, Sloane Stephens dan CoCo Vandeweghe serta Jack Sock dan John Isner.

Madison menjadi pemain AS ke-13 yang tersingkir selepas ditundukkan pilihan kesembilan, Johanna 6-3, 6-1 dalam tempoh 66 minit di Hisense Arena.

Pemain nombor 90 dunia itu yang hanya mencipta empat kemenangan dalam perlawanan itu, gagal menyaingi Johanna yang hadir ke kejohanan dengan masalah kecederaan.

Pemain nombor satu Britain itu menarik diri dari menyertai kejohanan pemanas badan di Brisbane akibat masalah pinggul sebelum tewas di pusingan pertama di Sydney.

Johanna yang dilahirkan di Sydney dan layak ke separuh akhir serta suku akhir edisi Terbuka Australia sebelum ini, mendapat sokongan penuh di Melbourne.

“Saya gembira dengan perlawanan ini,” katanya. “Dia benar-benar berjaya menyukarkan lawannya.”

Johanna akan menentang sama ada pemain Russia, Anna Blinkova atau seorang lagi pemain AS, Bernada Pera, Khamis ini ketika cuaca dijangka bertambah panas minggu ini.

“Saya tak sabar bermain dalam cuaca yang panas. Saya sukakannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 11:57 AM