AKSI skuad negara menentang Iraq pada perlawanan pertama Kumpulan C Kejohanan AFC B-23 di Stadium Changshu, China.
AKSI skuad negara menentang Iraq pada perlawanan pertama Kumpulan C Kejohanan AFC B-23 di Stadium Changshu, China.
Daripada Aziman Rosdi di Changshu dan China


PENYERANG negara Safawi Rasid mengakui mereka lambat panas apabila kecundang 1-4 di tangan bekas juara Iraq pada aksi pembukaan Kumpulan C Kejohanan AFC B-23 di Stadium Changshu, China hari ini.

Safawi, 20, menyumbat gol tunggal negara selepas ketinggalan 0-3 dalam perlawanan itu menerusi rembatan leret pada minit ke-79 menewaskan penjaga gol Iraq, Ahmed Basil.

Dia menganggap selain kesilapan sendiri pemain yang menghadiahkan gol kepada pasukan juara 2013 itu, mereka beraksi kurang yakin pada awal permainan.

“Alhamdulillah saya dapat menjaringkan gol tapi agak kecewa kerana tak dapat bantu meraih kemenangan. Kami banyak juga menyerang dan bertahan agak baik cuma tiga gol adalah kesilapan pemain sendiri dan kami akan cuba perbaiki.

“Tak ada beza (dengan Iraq) cuma kesilapan kami sendiri. Kami lambat dapat keyakinan kerana itu kami lepaskan gol mudah,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Safawi bergandingan dengan Jafri Firdaus Chew dan N Thanabalan namun mereka agak sukar untuk menembusi pertahanan Iraq yang lebih selesa beraksi dalam cuaca sejuk dengan suhu sekitar 3 Celsius.

Kekalahan itu belum menutup peluang anak buah Datuk Ong Kim Swee namun perlu mencatat keputusan lebih baik dalam baki perlawanan Kumpulan C menentang Jordan, Sabtu ini dan Arab Saudi, Selasa depan.

“Mungkin ramai (peminat) tengok kami banyak kekurangan tapi kami akan cuba lebih fokus untuk perlawanan seterusnya. Bagi saya sendiri, saya akan cuba sedaya upaya membantu skuad negara,” kata Safawi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 8:14 PM