ZAMIR (kiri) ketika bersama skuad PKNS. -Foto fail
ZAMIR (kiri) ketika bersama skuad PKNS. -Foto fail
Nazri Abu Bakar


PENJAGA gol Melaka United (MU), Mohd Zamir Mohd Selamat mengakui aksi pramusim skuad terbabit di Vietnam banyak memberi impak positif terhadap prestasi pasukan itu.

Katanya, selain tiga aksi persahabatan yang dijadualkan berakhir pada Jumaat ini, latihan di negara terbabit juga membentuk keserasian di kalangan pemain untuk memperagakan persembahan yang ingin diterapkan pengendali pasukan, Eduardo Almeida.

Malah, dia mengakui persefahaman antara pemain semakin memberangsangkan menerusi aksi perlawanan berkualiti yang diharungi setakat ini, sekali gus memberi impak terhadap kekurangan yang perlu diperbaiki.

“Perlawanan pertama menentang Binh Duoang berakhir dengan keputusan seri 1-1. Apa yang pasti, saingan amat kompetitif namun barisan MU memberikan yang terbaik dalam perlawanan terbabit.

“Secara peribadi, pastinya saya mahu memberikan yang terbaik sepanjang kerjaya sebagai penjaga gol. Hubungan kami dalam pasukan lebih akrab di dalam dan luar padang, sekali gus menepati kehendak pengurusan,” katanya.

Mohd Zamir yang juga bekas pemain Johor, Perak dan PKNS yakin, dia berada pada prestasi terbaik untuk tampil cemerlang bersama skuad Hang Tuah pada musim ini.

Baginya, sebagai pemain sudah pasti dia mahu membuktikan pemilihannya berbaloi walaupun turut diberi saingan dua penjaga gol, Faridzuen Kamaruddin dan Fadli Paat.

Apapun, dia menganggap saingan sihat berkenaan memberi motivasi kepada mereka bertiga untuk membentuk kubu kukuh pasukan sebagai benteng terakhir skuad Hijau Putih musim ini.

Bekas pemain skuad Harimau Muda (2008-2009), Harimau Muda A (2009-2012) itu mengakui, pengalamannya beraksi bersama pasukan Johor (2012-2013), PKNS FC (2014 dan 2017) serta Perak (2015-2016) banyak membantu meningkatkan keyakinan diri untuk tampil lebih baik mengawal gawang Melaka United.

Dia yang pernah menyarung jersi Malaysia (Bawah 21) pada 2008-2010, Malaysia (B-23) pada 2009-2012 dan skuad kebangsaan (2015) menganggap aksi di Melaka kali ini sebagai kebangkitan semula era gemilangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 9:58 PM