MOHD ZAMIR SELAMAT
MOHD ZAMIR SELAMAT
Nazri Abu Bakar


MELAKA: Penjaga gol skuad Melaka United (MU), Mohd Zamir Selamat mengambil keputusan untuk meninggalkan skuad itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan.

Bagaimanapun, setakat ini, dia masih belum mahu mendedahkan pasukan baharu yang bakal diwakili bagi saingan 2019.

Mohd Zamir ketika mengesahkan perkara itu berkata, dia sudah mengambil keputusan nekad untuk mencari pasukan baharu selepas cemerlang membantu skuad Melaka United mara ke Piala Malaysia, musim ini.

“Sokongan padu pihak pengurusan, jurulatih dan rakan sepasukan menjadi tunjang kecemerlangan skuad ini dan saya menganggap ia intipati rekod cemerlang skuad Hang Tuah kali ini.

“Cuma nasib tidak menyebelahi kami apabila gagal mara ke suku akhir Piala Malaysia akibat perbezaan mata dengan FELDA United dan PKNS dalam kumpulan B musim ini,” katanya.

Zamir yang juga bekas penjaga gol kebangsaan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan PKNS adalah pemain pertama MU yang menyatakan hasrat meninggalkan skuad berkenaan.

Rakan sepasukannya yang juga penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali sebagai Apek sudah menyatakan minat untuk kekal.

Pendirian Apek itu sudah dinyatakan kepada Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, manakala pemain yang lain masih berdiam diri.

Jurulatih skuad itu, E Elavarasan juga sudah mengesahkan meninggalkan skuad berkenaan untuk memimpin pasukan baharu 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 1:47 PM