Murray pada sesi latihan di Abu Dhabi. Foto/AFP
Murray pada sesi latihan di Abu Dhabi. Foto/AFP
AFP

BRISBANE: Andy Murray mengakhiri penantiannya untuk kembali ke Jelajah ATP di Kejohanan Antarabangsa Brisbane, selepas hampir lima bulan berehat akibat kecederaan.

Penganjur gembira dengan berita itu apabila mengetahui juara dua kali Wimbledon itu berada dalam penerbangan ke sini selepas kehilangan pemain nombor satu dunia, Rafael Nadal dalam kejohanan pemanas badan menjelang Terbuka Australia.

“Andy dalam perjalanan, dia akan mendarat hari ini. Dia sudah menempah gelanggang untuk sesi latihan dan tidak sabar kembali semula ke Brisbane - penampilan pertamanya sejak tahun 2013,” kata pengarah kejohanan, Cameron Pearson menerusi akaun Twitternya hari ini.

Murray yang juga bekas pemain nombor satu dunia, mengadu mengenai kecederaan pinggulnya pada kejohanan pertunjukan di Abu Dhabi semalam.

Kali terakhir pemain Scotland berumur 30 tahun itu bertanding adalah apabila tewas kepada Sam Querrey di Wimbledon dan kemudian menamatkan musimnya lebih awal selepas perlu menjalani pemulihan kecederaannya.

Murray mengalami kesan daripada kecederaan pinggul apabila tewas 6-2 kepada pemain Sepanyol, Roberto Bautista Agut tetapi dia mengesahkan untuk bermain di kejohanan pembukaan Grand Slam di Melbourne pada bulan depan.

“Saya rasa semakin baik, tetapi saya pastinya perlu terus membaiki permainan,” kata Murray kepada pemberita di Abu Dhabi.

“Sudah pasti agak perlahan di permulaan. Apabila anda tidak bertanding untuk tempoh yang lama tentunya lambat untuk mendapatkan kembali rentak.”

Tetapi kehadiran tiga kali juara major itu di sini adalah suntikan buat penganjur selepas Nadal menarik diri minggu lalu yang bimbang terhadap kecergasannya menjelang Terbuka Australia pada 15 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 1:39 PM