MANIAM (tengah) fokus rencana strategi untuk Selangor.
MANIAM (tengah) fokus rencana strategi untuk Selangor.
Rodly Fadly


KELIBAT dua pemain import Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn yang belum kelihatan pada sesi latihan skuad Selangor tidak meresahkan jurulatih P Maniam.

Sebaliknya beliau tetap fokus mempersiapkan skuad Red Giants untuk menghadapi musim 2018 tanpa terlalu memikirkan mengenai dua pemain itu.

Jurulatih itu menegaskan beliau tidak perlu panik kerana masa masih panjang untuk mempersiapkan pasukan memandangkan liga hanya akan bermula Februari depan.

“Memang, jika ikut perancangan, kedua-dua pemain itu sepatutnya sudah melaporkan diri minggu lalu tapi hingga sekarang belum muncul. Saya difahamkan mereka akan datang minggu depan.

“Saya sebenarnya tidak terlalu memikirkan perkara itu kerana lebih fokus kepada latihan bersama pemain yang ada ketika ini.

“Pada peringkat ini kami memberi tumpuan untuk meningkatkan tahap kecergasan pemain sebelum beralih kepada taktikal serta keserasian,” ujar Maniam.

Malah pelbagai spekulasi timbul berikutan kegagalan Evan dan Ilham melaporkan diri seperti dijadualkan juga tidak membimbangkan jurulatih itu.

“Tugas saya melatih pasukan, oleh itu apa saja urusan di luar padang saya serahkan sepenuhnya kepada pengurusan untuk menanganinya.

“Memang saya amat berharap Evan dan Ilham berada dalam pasukan untuk memperkukuhkan cabaran kami musim depan. Saya tahu pengurusan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan mereka bersama kami,” katanya.

Langkah Evan dan Ilham untuk menyertai latihan Selangor minggu lalu dikatakan tertangguh susulan kenyataan Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Edy Rahmayadi yang tidak merestui keputusan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 8:13 PM