AFP

BERLIN: Pengendali Borussia Dortmund, Peter Bosz (gambar) berada di ambang pemecatan susulan kegagalan terbaharu kelab kendaliannya yang gagal meraih sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan Bundesliga, menurut laporan.

Rentak buruk Dortmund berterusan awal pagi tadi apabila mereka tewas 2-1 kepada kelab di tangga ketiga tercorot, Werder Bremen di laman sendiri.

Majalah sukan Jerman, Bild melaporkan keputusan untuk memecat Bosz sebagai ketua jurulatih sudah pun dibuat dengan pengumumannya dijangka akan berlaku pada hari ini.

Bosz mengambil alih tugas mengendalikan Dortmund pada permulaan musim ini dan mengharungi kempen yang baik apabila kelab bimbingannya mengetuai liga dengan kelebihan lima mata pada penghujung September lalu.

Begitupun, mereka hanya mengutip tiga mata daripada tiga keputusan seri dalam lapan perlawanan selepas itu untuk terjerumus ke tangga ketujuh liga dan terkeluar daripada tempat ke saingan Eropah buat pertama kali berikutan kekalahan terbaharu.

“Perlawanan pada separuh masa pertama langsung tidak sama seperti sejak saya tiba di Dortmund,” kata Bosz selepas kekalahan kepada Bremen.

“Jelas, pemain-pemain perlu melakukan kerja mereka di atas padang tetapi saya yang akan bertanggungjawab dan ia benar-benar hari yang buruk.”

Selepas tersingkir di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, kekalahan Dortmund di Signal Iduna Park tampak seperti penamat buat masa depan Bosz di kelab berkenaan.

Sebelum perlawanan, Bosz menolak khabar angin mengatakan kesebelasan utamanya dipengaruhi dengan pemain sayap, Andre Schuerrle mengakui pengurus dari Belanda itu tidak boleh dipersalahkan berseorangan susulan penurunan prestasi kelab.

“Jurulatih tidak boleh melakukan apa-apa apabila kami merembat bola melepasi palang gol hanya tiga meter di depan gawang yang tidak dikawal,” kata Schuerrle selepas pemain tengah, Shinji Kagawa melepaskan peluang terbaik ketika perlawanan berada di penghujung aksi.

“Ketika ini, persoalannya adalah mentaliti.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 1:43 PM