PETER Bosz. FOTO AP
PETER Bosz. FOTO AP
AFP

The Hague: Jurulatih PSV Eindhoven Peter Bosz mempunyai misi tersendiri menjelang pertembungan pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini bertemu Borussia Dortmund, kelab yang menyaksikannya menghabiskan tempoh beberapa bulan selaku jurulatih sebelum dipecat.

Pengendali Belanda berusia 60 tahun itu ketika ini menikmati musim yang luar biasa bersama pendahulu Eredivisie, PSV.

PSV kini sedang berusaha untuk layak ke suku akhir Liga Juara-Juara pertama mereka sejak musim 2007-2008, malah penyokong Eindhoven mengimpikan pasukan sekarang mencontohi skuad bimbingan Guus Hiddink yang menjulang piala berprestij itu pada 1988.

Tetapi Bosz mempunyai misi untuk dibuktikan apabila menentang Dortmund, yang memikat hatinya untuk meninggalkan Ajax pada Jun 2017.

Bosz bermula dengan baik apabila berjaya membantu Dortmund melakar enam kemenangan daripada tujuh perlawanan pertama, menyebabkan sesetengah pihak mula meramalkan Dortmund mampu mengatasi dominasi Bayern Munich.

Tetapi kemelut mula melanda apabila Dortmund memulakan lima perlawanan tanpa kemenangan sekali gus meningkatkan tekanan ke atas Bosz.

Kegagalan di peringkat domestik ditambah lagi dengan kegagalan di Eropah apabila Dortmund tersingkir dari peringkat kumpulan Liga Juara-Juara tanpa sebarang kemenangan.

Bosz akhirnya dipecat pada 10 December, hanya selepas 167 hari membimbing Dortmund.

Menjelang pertemuan dengan bekas majikannya itu Bosz bersikap diplomatik apabila menyifatkan Dortmund sebagai "kelab besar" dan mempunyai penyokong yang hebat di Eropah.

"Saya masih mengenali ramai orang di kelab itu dan saya menantikan perlawanan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 10:13 AM