Rizar Mohd Noor


SPEKULASI pemain naturalisasi yang dibawa masuk Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya terjawab selepas pasukan itu memikat La’ Vere Corbin-Ong (gambar) untuk menyertai skuad Harimau Selatan musim depan.

Corbin-Ong yang juga pemain kacukan Malaysia-Barbados kini beraksi di kelab Liga Divisyen Dua Belanda, Go Ahead Eagles dan dalam lapan penampilan dia berjaya menjaringkan lapan gol.

Pemain berusia 26 tahun itu, yang memulakan karier bola sepak bersama kelab Argyle Pipers di Kanada pada 2005 selama empat tahun sebelum menyertai Capilano Blues ketika menuntut di Universiti Capilano di Vancoucer, Kanada.

Dia kemudian menyertai kelab profesional Vancouver Whitecaps pada 2011 namun setahun kemudian dia memberanikan diri untuk berpindah ke Jerman untuk mencuba nasib dengan kelab FC Pommern Greifswald yang beraksi di liga bawahan Jerman pada 2012 hingga 2014.

Pada hujung 2014, Corbin-Ong menyertai Berliner AK 07 yang beraksi dalam liga divisyen empat (Regionalliga Nordost) dan kelibatnya berjaya memikat FC Union Berlin yang beraksi dalam 2 Bundesliga tetapi memilih kelab dari 3 Liga, FSV Frankfurt pada musim 2016 selama setahun.

Karier Corbin-Ong terus berkembang apabila beraksi untuk Go Ahead Eagles di Belanda malah turut dipanggil menyertai skuad kebangsaan Kanada pada aksi persahabatan menentang Scotland, Mac lalu.

Dengan kehadiran Corbin-Ong yang beraksi di posisi pertahanan kiri dan pertahanan tengah pasti memberi kelegaan buat kem JDT yang sering bergantung kepada Fazly Mazlan.

Kini JDT sedang mengintai kuota pemain Asia dan akan membuat pengumuman tidak lama lagi sebelum pasukan itu memulakan latihan pertengahan bulan depan sebelum latihan pramusim di Bangkok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 11:29 AM