RAMON MARCOTE
RAMON MARCOTE
Izzali Ismail


PELUANG Ramon Marcote kembali membimbing Kedah musim depan cerah selepas penaja utama Helang Merah, ECK Development Sdn Bhd mencalonkan namanya kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Pengurus Helang Merah, Datuk Jefferey Low mengesahkan Pengarah ECK Development Sdn Bhd, Puan Seri Ginney Chew mahukan Marcote mengendalikan pasukan selepas mendengar dan mempertimbangkan desakan penyokong.

“Penaja kita Puan Seri (Ginney) mahu beliau (Marcote) dan kita kena pertimbangkan. Jika pengurusan mahukan beliau saya ikut saja kerana reputasi serta pencapaian Marcote bersama Kedah sebelum ini baik.

“Jadi, kita sedang pertimbangkan untuk menggunakan khidmat Marcote secara serius selepas pihak penaja mahukan khidmat beliau,” katanya hari ini.

GINNEY (kiri) mahu Marcote ambil alih teraju pasukan Kedah. -Foto fail
GINNEY (kiri) mahu Marcote ambil alih teraju pasukan Kedah. -Foto fail

Jefferey yang juga Naib Presiden KFA menafikan bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez menjadi pilihan seperti dihebahkan dalam media sejak minggu lalu sekali gus menguatkan lagi desas-desus Marcote dipilih menjadi jurulatih Kedah.

Dalam laman sosial Facebook Ginney baru baru ini, beliau meminta maklum balas penyokong mengenai pemilihan Marcote dan berjanji sekiranya mendapat 25 ribu ‘like’, beliau akan berusaha memujuk KFA supaya melantik jurulatih kelahiran Sepanyol itu selaku ketua jurulatih Helang Merah.

Dalam tempoh 24 jam selepas entri itu dimuatnaik, jumlah ‘like’ penyokong Kedah sudah melebihi 26,000 dan setakat ini sudah mencecah 30,000. Ini membuktikan Marcote meraih populariti yang tinggi di kalangan penyokong yang mahukan beliau kembali ke Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 3:51 PM