WELSON bakal terima jurulatih baru. FOTO/FAIL
WELSON bakal terima jurulatih baru. FOTO/FAIL
Ferzalfie Fauzi


SELEPAS berakhir tugasan di Sukan Asia Jakarta-Palembang, perenang negara, Welson Sim mengaku sangat teruja dan ternanti-nanti siapa yang bakal menggalas peranan sebagai jurulatih apabila Paul Birmingham meninggalkan skuad kebangsaan.

Menurut perenang berusia 21 tahun itu, dia ternanti-nanti pengumuman mengenai jurulatih baharu dan setakat ini tidak mengetahui lebih lanjut siapa yang akan melatihnya bersama rakan-rakan lain selepas Birmingham menyerahkan surat peletakan jawatan, Jun lalu.

“Saya tidak tahu (jurulatih baharu) tapi saya harap beliau adalah seorang yang mampu untuk meningkatkan prestasi saya dan bukannya jenis yang suka menjerit,” kata Welson selepas mencatat rekod kebangsaan 8:12.46s dalam acara 800 meter gaya bebas di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno, Isnin lalu.

Jelasnya, jurulatih baharu nanti seharusnya mempunyai perwatakan seperti Birmingham iaitu seorang yang terbuka dan mudah untuk dibawa berbincang.

“Beliau (Birmingham) saya anggap sebagai bapa walaupun peranannya adalah seorang jurulatih,” katanya yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016 dalam acara 400m gaya bebas.

Ditanya mengenai pencapaiannya di Sukan Asia termasuk gagal mara ke final dalam acara 400m gaya bebas selepas hanya melakukan catatan 3:54.48s di peringkat saringan, perenang kelahiran Kuching, Sarawak itu mengakui banyak yang dipelajari di temasya berkenaan.

“Memang agak sukar buat saya untuk mempertingkatkan prestasi saya namun selepas melihat perenang negara jiran, Singapura berjaya meraih emas, ia ternyata memberikan satu motivasi kepada saya bahawa kami perlu berlatih dengan lebih keras lagi jika mahu menjadi seperti mereka,” katanya.

Welson juga berjaya membantu kuartet 4x100 gaya bebas negara mencatatkan rekod kebangsaan 3:21.06s dengan memadam rekod lama 3:21.79s ketika di Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu.

Selain Welson, turut beraksi dalam acara berkenaan ialah Lim Kit Sern, Chan Jie, Fong Wei Tze dan dengan catatan itu mereka berjaya menduduki tempat keenam dari lapan negara di final.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 1:41 PM