ZULFADLI bangkit selepas hilang fokus ketika mendahului Chi Wing  15-7 pada set penentuan.
ZULFADLI bangkit selepas hilang fokus ketika mendahului Chi Wing 15-7 pada set penentuan.
Ferzalfie Fauzi


“KEMENANGAN ini bukan untuk membuktikan saya lebih baik berbanding pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM),” jelas pemain perseorangan profesional, Zulfadli Zulkiffli selepas menumpaskan rakan senegara, Lim Chi Wing sekali gus layak ke suku akhir Terbuka Macau.

Menurut juara remaja dunia 2011 itu, dia sedar bahawa ia sesuatu yang sensitif untuk mendakwa dirinya atau pemain di bawah naungan BAM adalah lebih baik walaupun menang 21-11, 14-21, 21-15 di pusingan ketiga hari ini.

“Tidak ada apa yang perlu saya saingi. Kami semua hanya bermain demi negara. Saya tidak mahu komen mengenai pemain mana yang bagus, cuma kami saling mengetahui corak permainan masing-masing dan tidak pernah terlintas di hati saya bahawa ada pemain BAM yang cuba bersaing dengan saya atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, dia bersyukur dapat menumpaskan Chi Wing yang juga juara kebangsaan dan bersedia untuk menentang pemain Taiwan, Shih Kuei Chun esok.

“Saya mengawal permainan dengan baik pada set pertama. Set kedua pula saya mendahului sebelum pengadil dan penjaga garisan membuat keputusan kurang tepat. Dalam masa sama saya juga ada buat banyak kesilapan. Bagaimanapun, pada set penentuan saya berjaya mendahului 15-7, tapi mula hilang fokus sehingga membiarkan dia bangkit. Tapi saya berjaya bangkit mencatat kemenangan,” kata pemain pilihan ke-10 itu.

Turut mara ialah seorang lagi pemain profesional, Chong Wei Feng yang menumpaskan Koki Watanabe dari Jepun, 21-7, 21-15 untuk berdepan pemain veteran Korea Selatan, Lee Hyun Il esok.

Beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean pula mengejutkan pilihan ketiga dari Taiwan, Hsu Ya Ching-Wu Ti Jung selepas menang 21-19, 21-14 dan mereka akan menentang Della Destiara Haris-Tiara Rosalia Nuraidah esok.

Sementara itu, beregu campuran, Chan Peng Soon-Cheah Yee See yang juga pilihan kelapan menumpaskan gandingan Malaysia-Indonesia, Arif Latif-Rusydina Antardayu Riodingin 21-18, 21-10 dan akan berdepan, Terry Hee-Tan Wei Han (Singapura) di suku akhir.

Bagaimanapun, pemain perseorangan wanita negara, Ho Yen Mei tumpas di tangan Lee Min Ji dari Korea Selatan, 13-21, 14-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 7:47 PM