Azlan Muhammad Zain


JAGUH trek negara, Azizulhasni Awang (gambar) dijangka terus berlumba dalam kesakitan pada siri kedua Piala Dunia yang berlangsung di Manchester, hujung minggu ini.

Tiada istilah mengalah bagi Azizulhasni kerana tindakannya itu bagi memastikan dia mampu meraih mata terutamanya dalam acara pecut individu bagi mengukuhkan kedudukan ke Kejohanan Dunia di Belanda, Februari tahun depan.

Juara dunia keirin itu, berada pada kedudukan ke-22 dunia ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dengan 1,140 mata diikuti rakan sepasukan, Shah Firdaus Sahrom (1,069 mata).

Terdapat dua cara melayakkan diri ke Kejohanan Dunia, iaitu dengan ranking 20 negara terbaik di dalam ranking UCI disusuli ranking 10 individu terbaik.

Malaysia berada pada kedudukan 14 ranking negara dengan 2,529 mata untuk berada dalam kedudukan layak ke kejohanan di Belanda itu, namun saingan siri Piala Dunia masih berbaki tiga siri.

Pada malam tadi, The Pocketrocketman beraksi dalam kesakitan dalam acara pecut di siri pertama Piala Dunia berlangsung di Poland, selepas sehari terbabit dalam kemalangan dalam acara keirin sehingga menyebabkan pergelangan kaki kirinya terseliuh.

“Ketika sesi memanaskan badan, memang saya berasa sakit namun saya memutuskan untuk beraksi bagi meraih sedikit mata untuk ke Kejohanan Dunia. Saya gembira dengan masa yang dicatatkan walaupun dalam keadaan cedera dan tidak mampu melangkah lebih jauh.

“Kebiasaannya kecederaan seperti ini akan mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk pulih namun kerana masa yang suntuk, kita dapat melakukan cara terbaik untuk mempercepatkan proses pemulihan.

“Jadi, apabila kejohanan di Manchester nanti, saya berharap keadaan akan jauh lebih baik berbanding di Poland. Saya sudah mendaftar untuk keirin dan pecut individu namun bergantung kepada perkembangan kecederaan nanti. Saya berharap mampu turun untuk kedua-dua acara,” katanya.

Kemalangan dalam acara keirin pada pusingan repecharge menyaksikan Azizulhasni terpaksa melupakan hasrat melangkah jauh dalam acara itu selain gagal melepasi had kelayakan dalam acara pecut individu apabila melakukan 10.195 saat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 8:15 PM