AFP

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino menegaskan Harry Kane (gambar) mungkin boleh disenaraikan dalam skuad England untuk perlawanan persahabatan antarabangsa terdekat meskipun kecederaan menghantuinya ketika kelab itu menewaskan Crystal Palace 1-0, baru-baru ini.

Penyerang Spurs itu dikeluarkan pada baki 14 minit perlawanan semalam di Wembley selepas dilihat menerima rawatan pada babak pertama.

Pochettino juga yakin Dele Alli akan cergas semula daripada masalah hamstring sebelum perlawanan seterusnya menentang seteru dari utara London, Arsenal meskipun pemainnya itu mungkin terlepas tugasan England untuk bertemu Jerman dan Brazil.

Bagaimanapun dia masih kabur sama ada Harry Winks perlu menarik diri daripada skuad Gareth Southgate selepas pemain tengah berkenaan dikeluarkan susulan kecederaan buku lali.

“Kane dikeluarkan kerana selepas 75 minit kami mahu melindunginya,” kata Pochettino. “Selepas Real Madrid, ia adalah perlawanan yang penuh emosi, jadi adalah lebih baik untuk menghindarkan sebarang risiko. Saya fikir dia OK dan pasti dia akan boleh bersama pasukan kebangsaan.”

Tambah bekas pengurus Southampton itu: “Harry Winks terseliuh buku lali pada babak pertama, ia menyakitkan, kami harus membantunya dengan staf perubatan dan staf pasukan perubatan kebangsaan.

“Dia sangat teruja untuk bersama pasukan kebangsaan tetapi sekarang ini semuanya terserah kepada staf perubatan untuk merawatnya.”

Spurs menampilkan aksi mengecewakan ketika pertembungan menentang Palace, apabila kebuntuan jaringan hanya dileraikan pada minit ke-64 menerusi Son Heung-Min.

“Ia sangat sukar,” kata Pochettino. “Kami tahu selepas Real Madrid, ia akan menjadi satu cabaran yang besar untuk sekali lagi bersaing. Apapun, pada akhirnya saya gembira, pasukan sangat profesional.

“Ia adalah satu perlawanan di mana kami menguasainya tetapi kami melepaskan banyak peluang. Kamu memerlukan tuah untuk menang dan ia satu persembahan yang baik daripada pasukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 1:14 PM