WINKS (tengah) ketika menjaringkan gol Spurs. FOTO/AFP
WINKS (tengah) ketika menjaringkan gol Spurs. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Gol pertama Harry Winks sejak 2016 membantu Tottenham menang 2-1 ke atas Fulham awal pagi tadi, namun Dele Alli menyertai senarai panjang kecederaan pasukan kendalian Mauricio Pochettino.

Kehilangan khidmat Harry Kane hingga Mac ini berikutan kecederaan ligamen buku lali manakala Son Heung Min beraksi dengan Korea Selatan pada Piala Asia, ketiadaan Alli dalam beberapa minggu akan datang satu tamparan besar buat Tottenham yang mencabar empat kejuaraan.

Bagaimanapun, Spurs kekal di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris dan sekurang-kurangnya boleh lega dengan perbezaan tujuh mata di depan pasukan tangga kelima Arsenal dan Manchester United dalam perebutan penamat empat teratas.

Tottenham bertandang ke Chelsea bagi separuh akhir kedua Piala Liga awal pagi Jumaat ini dengan kelebihan 1-0 dan berdepan Crystal Palace pada pusingan keempat Piala FA hujung minggu depan.

Kane dan Alli juga dijangka tidak cergas sepenuhnya untuk berdepan Borussia Dortmund pada aksi Liga Juara-Juara, 13 Februari depan.

PEMAIN Spurs meraikan gol kemenangan. FOTO/AFP
PEMAIN Spurs meraikan gol kemenangan. FOTO/AFP

“Ia tidak membimbangkan, ia peluang besar kepada pemain lain untuk beraksi,” tegas Pochettino penuh yakin.

“Sudah tentu tanpa Kane dan kini Alli ia tidak mudah. Tapi kami perlu ke sana (ke Chelsea), cuba menang dan layak ke final.”

Fulham pula kini tujuh mata berbanding zon selamat dan kelihatan pasti kembali ke Liga Kejuaraan selepas hanya semusim di liga utama.

Namun bos Claudio Ranieri tetap percaya pasukannya mampu kekal di liga utama jika pasukannya mampu memperagakan aksi konsisten seperti babak pertama.

“Kami masih bernafas, kami terus berjuang,” kata Ranieri. “Pasukan ini mempamerkan persembahan fantastik. Saya hanya boleh katakan mereka sudah melakukan yang terbaik tapi kami perlu bertindak bijak hingga ke penamat.”

Fulham mendahului apabila penyerang Spurs, Fernando Llorente tertampan bola masuk ke dalam gawang sendiri pada minit ke-17 susulan sepakan sudut namun Alli menyamakan pada minit ke-51 sebelum tandukan Winks pada minit ketiga masa kecederaan memastikan kemenangan mereka.

ALLI (kiri) ledak gol pembukaan Spurs. FOTO/AFP
ALLI (kiri) ledak gol pembukaan Spurs. FOTO/AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 8:16 AM